Tuesday, February 14, 2012

LATIHAN PERIBAHASASPM 1

PERIBAHASA
Bahagian peribahasa SPM biasanya berkisar pada beberapa bentuk soalan. Hal ini dinyatakan di bawah:
A. Membina ayat daripada peribahasa:
Contoh:
1. bagai menatang minyak yang penuh
Ibu bapa selalunya menyayangi dan menjaga anak-anak mereka bagai
menatang minyak yang penuh sehinggalah mereka dewasa.

2. seperti katak di bawah tempurung
Sikap Ng Khai Liang yang sukar menerima perubahan yang berlaku
menyebabkan dia berfikiran tertutup seperti katak di bawah
tempurung
.

3. seperti paku dengan penukul
Pelajar yang malas dan bersikap seperti paku dengan penukul tidak
mungkin dapat meraih kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan.

4. ketam mengajar anaknya berjalan lurus
Masih ramai ibu bapa yang malas membaca tetapi mahu anak mereka rajin
mengulang kaji pelajaran samalah seperti ketam mengajar anaknya
berjalan lurus.


B. Mengemukakan peribahasa yang sesuai berdasarkan situasi yang diberi:
Contoh:
Beri tiga peribahasa yang sesuai dengan cerita yang diberi.
1. Pak Hassan terkejut besar apabila anak yang dipelihara dengan penuh
kasih sayang sanggup melakukan perkara yang terkutuk itu. Dia tidak
menyangka bahawa anaknya itu terlibat dalam kes ragut yang telah
memalukannya. Tindakan anaknya yang telah membunuh mangsa itu tidak
dapat diselamatkan kerana anaknya akan menerima hukuman yang setimpal.

i. bagai menatang minyak yang penuh (memelihara dengan penuh kasih
sayang)
ii. bagai menconteng arang ke muka (memalukan)
iii.nasi sudah menjadi bubur


2. Pasangan pengantin di atas pelamin itu amat sepadan. Pasangan itu bakal
melayari hidup sebagai suami isteri. Setiap pasangan perlu bersabar dan
jika ada perselisihan pendapat, mereka perlu bertolak ansur serta saling
memaafkan. Tanpa sikap tolak ansur sesebuah
keluarga tidak akan dapat bertahan lama dan perasaan kasih saying
akhirnya akan lenyap. Hal ini boleh menyebabkan perceraian berlaku.

i. bagai pinang dibelah dua.
ii. sedangkan lidah lagi tergigit.
iii. bagai embun di hujung rumput.


C. Mengemukakan peribahasa berdasarkan ayat yang diberi:
Contoh:
1. Setelah berjaya melepaskan dirinya daripada digigit anjing liar, gadis
itu terpaksa pula bergelut dengan seorang lelaki yang hendak meragut beg
tangannya.
* keluar mulut harimau, masuk ke mulut buaya.

2. Walaupun telah lama tinggal di luar negara namun akhirnya Rony pulang
semula ke kampung halamannya kerana berasakan kampung halamannya lebih
tenteram.
* hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih
baik di negeri sendiri
.

3. Apabila Encik Santos meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dua
tahun yang lalu, keluarganya menjadi kucar-kacir dan saling berbalah.
* bagaikan anak ayam kehilangan ibu.

D. Mengisi tempat kosong dengan peribahasa yang sesuai:Contoh:


1. Tok penghulu kesal akan sikap penduduk kampung yang hanya membisu ketika mesyuarat dijalankan, tetapi mula bersuara apabila projek sudah dijalankan. Ada-ada sahaja yang tidak kena. Mereka bersikap umpama …………(i)…………… Mereka sepatutnya tidak mengemukakan pendapat sesuka hati dan tidak mengeluarkan kata-kata yang dapat menyinggung perasaan orang lain. Hal ini demikian kerana ……(ii)…….. Walau bagaimanapun, sebagai ketua tok penghulu akan berusaha untuk menyelesaikan masalah …………(iii)………..nya itu supaya dapat memuaskan hati semua pihak.


i. rumah siap pahat berbunyi
ii.mulut manusia lebih tajam daripada mata pedang / terlajak perahu boleh
diundur, terlajak kata buruk padahnya.
iii. anak buah


Latihan 1:Beri maksud peribahasa yang diberi di bawah dan bina ayat daripada peribahasa tersebut.


1. bagaikan kera mendapat bunga
2. kerana lembu seekor membawa lumpur, semuanya terpalit
3. burung terbang dipipiskan lada
4. menegakkan benang yang basah
5. bagaikan telur dihujung tanduk
6. ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya
7. bagaikan tikus jatuh di kepuk
8. matinya semut kerana gula
9. air dicincang tidak akan putus
10. bagaikan embun di hujung rumput

Latihan 2:Beri maksud peribahasa yang diberi di bawah dan bina ayat daripada peribahasa tersebut.

1. seperti mendukung biawak hidup
2. sudah jatuh ditimpa tangga
3. kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan
4. ditelan mati emak, dibuang mati bapak
5. kalau tidak berada-ada, masakan tempua bersarang rendah
6. bagaikan anjing dengan bayang-bayang
7. sekilas ikan di air, sudah kutahu jantan betina
8. genggam bara api biar sampai menjadi arang
9. bagai mencurah air ke daun keladi
10. kuman di seberang laut Nampak, gajah di depan mata tak Nampak

Latihan 3:Beri maksud peribahasa yang diberi di bawah dan bina ayat daripada peribahasa tersebut.

1. Bagaikan lalat mengharung najis/ tahi
2. Seperti cendawan tumbuh selepas hujan
3. sehari sehelai benang, lama-lama menjadi kain
4. seperti pelanduk dua serupa
5. melentur buluh biarlah dari rebungnya
6. seperti ular kena palu
7. mati semut kerana gula
8. bagai mendapat durian runtuh
9. umpama tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain
10. mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan

Sunday, February 12, 2012

PUISI TRADISIONAL DIRBAHASAKU SYAIR PEMBERONTAKAN PATANI

Puisi Tradisional
(Syair Pemberontakan Patani)


MAKSUD
Rangkap 1:

Laksamana telah dititahkan oleh betara ke negeri Patani dengan segera untuk pergi mendapatkan panji-panji atau perintah daripada Raja Senggora tentang peraturan dan hukuman.

Rangkap 2:

Mereka yang dikenakan hukuman harus menerimanya. Mereka boleh memohon agar diberikan pengampunan daripada pegawai yang berkenaan.

Rangkap 3:

Setelah mendengar titah betara, laksamana tidak lagi risau kerana negeri yang ditinggalkannya akan tetap terpelihara daripada huru-hara.

Rangkap 4:

Pada masa yang sama bonda Duli Mahkota Indera iaitu emak saudara laksamana, sudah lama gering dan laksamana tidak sanggup meninggalkan baginda.

Rangkap 5:

Walaupun dengan berat hati, laksamana tetap menjunjung perintah betara.

Rangkap 6:

Laksamana tidak dapat berkata apa-apa kerana dia terpaksa menurut perintah dan laksamana menyerahkan segala-galanya pada Allah.

Rangkap 7: Harapan laksamana agar dapat mendaulatkan nama baginda demi keamanan negara walaupun laksamana terpaksa berkorban.

Rangkap 8:

Dalam menjalankan tugas, laksamana tetap tidak melupakan bonda yang gering meskipun dalam hati kecilnya kemungkinan tidak dapat bertemu dengan bondanya.

Rangkap 9:

Sudah tersurat bahawa masalah yang dihadapi dalam negeri lebih berat berbanding dengan masalah bondanya yang sakit seorang diri kerana melibatkan rakyat jelata.

Rangkap 10:
Maka laksamana melaksanakan titah seri betara dengan segera bagi mendapat panji-panji/perintah Raja Senggora.

TEMA
Syair ini mengemukakan tema tentang tanggungjawab seorang laksamana melaksanakan perintah raja.

PERSOALAN
1. Persoalan kesetiaan terhadap pemimpin.
2. Persoalan mematuhi arahan pemerintah.
3. Persoalan kepentingan negara menjadi keutamaan bagi setiap rakyat.
4. Persoalan keamanan negara tanggungjawab kita.

BENTUK
1. Rima akhir aaaa
2. Syair ini mengandungi sepuluh rangkap.
3. Setiap rangkap mengandungi empat baris.
4. Jumlah perkataan antara tiga hingga lima patah kata setiap baris.
5. Jumlah suku kata antara sembilan hingga tiga belas suku kata setiap
baris.

GAYA BAHASA
1. Diksi (Bahasa Melayu Klasik)
Contoh: masyghul, dura, pegari, peri dan sebagainya.

2. Asonansi
Contoh: Laksamana dititahkan betara (pengulangan vokal ’a’)

3. Aliterasi
Contoh: Barang yang hendak dihukumkan (pengulangan konsonan ’n’)

4. Kata ganda
Contoh: Huru-hara, terkata-kata, bersegera-segera.


NILAI
1. Nilai kesetiaan
Contoh: Setia kepada pemerintah dan negara
2. Nilai amanah
Contoh: Laksamana melaksanakan amanah betara.
3. Nilai cinta akan negara
Contoh: Laksamana sanggup tinggalkan bondanya yang sakit demi negara.

PENGAJARAN
1. Kita hendaklah melaksanakan amanah yang diberikan.
2. Kita haruslah akur dengan arahan pemimpin demi kepentingan negara.
3. Kita perlulah mengutamakan kepentingan negara daripada kepentingan
diri.
4. Kita hendaklah setia kepada raja dan negara.
5. Kita janganlah bersedih dengan keputusan yang diambil sekiranya
mendatangkan kebaikan kepada orang lain.



Latihan

1. Berikan tiga pengajaran yang terdapat dalam Syair Pemberontakan Patani.

2. Pada pendapat anda, bagaimanakah caranya untuk menanam semangat cinta akan negara dalam kalangan remaja?



Jawapan

1. Tiga pengajaran yang terdapat dalam Syair Pemberontakan Patani ialah:

i. Kita hendaklah melaksanakan amanah yang diberikan.
ii. Kita haruslah akur dengan arahan pemimpin demi kepentingan negara.
iii. Kita perlulah mengutamakan kepentingan negara daripada kepentingan diri.


2. Cara untuk menanam semangat cintakan akan negara dalam kalangan remaja ialah melalui :

i. Pendidikan di sekolah
ii. Kempen, seminar atau bengkel
iii. Penyertaan remaja dalam persatuan atau pertubuhan belia

PUISI TRADISIONAL DIRBAHASAKU SYAIR MAKNA RIAK

Puisi Tradisional
(Syair Makna Riak)

MAKSUD
Rangkap 1:
Riak merupakan satu perbuatan atau sifat baik untuk menunjuk-nunjuk kepada orang ramai. Perbuatan ini dibenci oleh tuhan kerana mendatangkan syirik.

Rangkap 2:
Kadang-kadang perbuatan riak ini ditunjukkan dengan cara berpuasa, bercakap dengan lemah lembut dan melakukan sesuatu perkara tanpa menghiraukan kepentingan diri.

Rangkap 3:
Dia melakukan perkara itu agar orang menganggap dirinya wali yang tidak peduli hal dunia. Perbuatannya nampak baik tetapi sebenarnya dia sekadar berpura-pura.

Rangkap 4:
Kadang-kadang riaknya dilakukan dengan meninggi-ninggikan kelebihan ilmunya. Dia sentiasa membaca al-quran dan memberi ceramah. Namun perkara yang betul dan salah semua dicampur aduk.

Rangkap 5:
Kadang-kadang dia bercakap seolah-olah idea/fikirannya logik. Seolah-olah telah membuat penyelidikan supaya dia disangka cerdik. Oleh itu, banyak orang ingin menjadikannya sebagai menantu.

Rangkap 6:
Kadang-kadang orang riak dengan cara berpakaian. Mereka berserban dan sejadah sentiasa terletak di bahunya serta di tangannnya memegang tasbih.

Rangkap 7:
Duduk bersila dan mata terpejam sambil berzikir menyebut nama Allah. Gayanya keterlaluan seolah-olah dialah ketua.

Rangkap 8:
Riak boleh mendatangkan bala. Amalan kita akan ditolak dan Allah tidak suka dengan sifat riak.

TEMA
Syair ini mengemukakan tema tentang sifat-sifat manusia yang riak.

PERSOALAN
1. Persoalan sifat riak merupakan sifat yang dibenci oleh tuhan.
2. Persoalan terdapat golongan manusia yang suka menunjuk-nunjuk
tentang kelebihan diri.
3. Persoalan ilmu yang dimiliki digunakan untuk kepentingan diri
4. Persoalan kehidupan orang yang riak pasti tidak mendapat keberkatan –
amalan tidak diterima oleh Allah.

BENTUK
1. Rima akhir aaaa.
2. Syair ini mengandungi lapan rangkap.
3. Setiap rangkap mengandungi empat baris.
4. Jumlah perkataan antara empat hingga lima patah kata setiap baris.
5. Jumlah suku kata antara 7 hingga 14 suku kata setiap baris.

GAYA BAHASA
1. Diksi (Bahasa Arab)
Contoh : syirik, jazbah, Allah, zikir dan sebagainya.
2. Simile
Contoh: Terkadang jazbah seperti gila.
3. Asonansi
Contoh: supaya disangkanya ianya wali (pengulangan vokal ’a’)
4. Aliterasi –
Contoh: Tetapi hatinya ke dunia bertali (pengulangan konsonan ‘t)
5. Inversi
Contoh – akan dunia tidak peduli.


NILAI
1. Nilai kesyukuran
Contoh: bersyukur dengan ilmu yang dimiliki.
2. Nilai kesederhanaan
Contoh: bersederhana dalam segala perbuatan tanpa menunjuk-nunjuk.


PENGAJARAN
1. Kita janganlah bersifat riak.
2. Kita janganlah suka menunjuk-nunjuk kelebihan yang ada pada diri
kita.
3. Kita haruslah menggunakan ilmu yang dimiliki ke arah jalan benar.
4. Kita hendaklah melakukan sesuatu perkara dengan ikhlas.
5. Kita janganlah melakukan perkara yang membawa kepada syirik.



LATIHAN

1. Berikan maksud rangkap kedua Syair Makna Riak.

2. Kemukakan dua gaya bahasa yang terdapat dalam Syair Makna Riak


Jawapan :

1. Kadang-kadang perbuatan riak ini ditunjukkan dengan cara berpuasa, bercakap dengan lemah lembut dan melakukan sesuatu perkara tanpa menghiraukan kepentingan diri.

2. I) Diksi (Bahasa Arab)
Contoh : syirik, jazbah, Allah, zikir dan sebagainya.

ii) Simile
Contoh: Terkadang jazbah seperti gila

PUISI TRADISIONAL DIRBAHASAKU SELOKA SILUNCAI

Puisi Tradisional
(Seloka Si Luncai)

MAKSUD
Sikap Si Luncai yang tidak bertanggungjawab menyebabkan kehilangan harta benda. Sebagai contoh ada rumah tetapi tidak dijaga dengan baik. Ada anak tetapi tidak diasuh, ada ternakan tidak dibela, tidak bercucuk tanam walaupun ada kebun. Kesimpulannya,Si Luncai kerugian kerana tidak memanfaatkan segala yang dimiliki.

TEMA
Sikap negatif menyebabkan kerugian

PERSOALAN
1. Persoalan sikap tidak bertanggungjawab membawa kerugian
2. Persoalan tidak mengamalkan ilmu yang diperoleh.
3. Persoalan tidak menggunakan kudrat yang ada.

BENTUK
1. Mempunyai satu rangkap sahaja.
2. Mempunyai 12 baris.
3. Jumlah perkataan antara dua hingga enam perkataan dalam satu baris.
Contoh : biarkan, biarkan...! (2 perkataan - baris 11)
Ada kuat tiada buat (4 perkataan – baris 10)
Sikap Si Luncai, biarkan, biarkan (5 perkataan – baris 1)

GAYA BAHASA
1. Anafora

Contoh:
Ada rumah tidak dijaga,
Ada anak tidak dilataih

2. Repitisi

Contoh:
Biarkan...biarkan

3. Unsur bunyi

Contoh:
Asonansi – Ada mata tiada kuasa (baris 9) (pengulangan vokal ‘a’)
Aliterasi – Si Luncai pun terjun dengan labu-labunya (baris 12) (pengulangan konsonan ‘n’)

NILAI
1. Nilai bertanggungjawab.
Contoh: bertanggungjawab terhadap diri, keluarga dan masyarakat.

2. Nilai kebijaksanaan
Contoh: Kebijaksanaan dalam menjalankan apa jua kerja.

PENGAJARAN
1. Kita hendaklah menjaga harta benda dengan sebaik-baiknya.
2. Kita hendaklah bijak menggunakan akal.
3. Kita janganlah membiarkan perkara yang salah tanpa menegur kesalahan itu.
Latihan

1. Gambarkan sikap Si Luncai seperti dalam Seloka Si Luncai.

2. Nyatakan pengajaran yang boleh diambil daripada Seloka Si Luncai.


Jawapan

1. Si Luncai seorang yang tidak bertanggungjawab dan pemalas.

2. Kita hendaklah menjadi manusia yang bertanggungjawab.Kita juga mestilah rajin mengusahakan tanah.

PUISI TRADISIONAL DIRBAHASAKU GURINDAM TONGGAK 12

Puisi Tradisional
(Gurindam Tonggak Dua Belas)

Hendak pandai menghargai masa,
Jangan dinanti esok lusa.
Ketekunan akan membawa kejayaan,
Kegigihan bekerja dengan keupayaan.

Wajah ceria keseronokan bekerja,
Usah berduka bermuram durja.

Hidup dalam kemuliaan kesederhanaan,
Bertindak dengan penuh kebijaksanaan.

Ketinggian peribadi jadi amalan,
Ketelusan hati jadi bekalan.

Kekuatan sifat baik hati,
Bertimbang rasa dan bersimpati.

Pengaruh kepimpinan melalui teladan,
Baik buruk jadikan sempadan.

Menjadi kewajipan menjalan tugas,
Walaupun sederhana tetapi tegas.

Kebijaksanaan berhemat perlu diutama,
Tidak membazir teliti saksama.

Keutamaan kesabaran fikiran tenang,
Perkara susah menjadi senang.

Peningkatan bakat diberi sokongan,
Tunjukkan kebolehan jadikan dorongan.

Nikmat mencipta budaya kreatif,
Kembangkan bakat semoga aktif.

TEMA
Nilai-nilai murni dalam kehidupan

Gurindam ini menekankan penghayatan nilai-nilai murni yang perlu ada dalam diri seseorang.


PERSOALAN
1. Persoalan menghargai masa penting dalam kehidupan ( rangkap 1)
2. Persoalan tekun berusaha membawa kejayaan ( rangkap 2)
3. Persoalan kepimpinan melalui teladan (rangkap 7)
4. Persoalan berfikiran tenang dalam membuat keputusan (rangkap 10)
5. Persoalan berfikiran kreatif dan inovatif (rangkap 12)

BENTUK
1. Mempunyai 12 rangkap.
2. Setiap rangkap mengandungi 2 baris
Contohnya : Hendak pandai menghargai masa
Jangan dinanti esok lusa
3. Mengandungi 4 patah perkataan dalam satu baris
Contohnya Nikmat mencipta budaya kreatif:
4. Suku kata antara 9 hingga 14 suku kata
Contohnya ; Ja/ngan di/nan/ti e/sok lu/sa – 9 sukukata sebaris
Hi/dup da/lam ke/mu/lia/an ke/se/der/ha/na/an – 14 sukukata sebaris
5. Rima akhir aa
Contohnya : Nikmat mencipta budaya kreatif,
Kembangkan bakat semoga aktif

GAYA BAHASA
1. Simpulan bahasa – baik hati (rangkap 6 baris 1)
2. Unsur Bunyi
Asonansi – pengulangan vokal a
Kekuatan sifat baik hati ( rangkap 6 baris 1)
Nikmat mencipta budaya kreatif (rangkap 12 baris 1)

3. Aliterasi – pengulangan bunyi konsonan n
Bertindak dengan penuh kebijaksanaan (rangkap 4 baris 2)

NILAI
1. Nilai kegigihan, Contohnya kegigihan apabila bekerja.
2. Nilai kebijaksanaan, Contohnya kebijaksanaan dalam melaksanakan
tanggungjawab.
3. Nilai kesederhanaan, Contohnya kesederhanaan dalam kehidupan.:
4. Nilai kesabaran, Contohnya kesabaran menghadapi cabaran.

PENGAJARAN
1. Kita hendaklah bertindak secara bijaksana
2. Kita hendaklah menghargai masa
3. Kita haruslah menunjukkan teladan yang baik
4. Kita janganlah suka membazir.
5. Kita hendaklah tekun berusaha untuk mencapai kejayaan


Latihan
1. Nyatakan bentuk gurindam di atas.
2. Huraikan tema gurindam tersebut.

Jawapan
1. Bentuk gurindam di atas ialah rima akhir setiap rangkap aa dan setiap rangkap mempunyai dua baris.
2. Tema gurindam tersebut ialah nilai-nilai murni dalam kehidupan. Contohnya kegigihan dan ketekunan bekerja.