Monday, January 17, 2011

ANALISIS DIRGAHAYU BAHASAKU PANTUN 6 KERAT

Puisi Tradisional
(Pantun Enam Kerat)

MAKSUD
Rangkap 1
Kelukaan di hati disembunyikan daripada pengetahuan orang lain walaupun pedihnya amat mendalam.
Rangkap 2
Sesuatu yang berlaku kepada kita harus diterima dengan perasaan yang reda kerana itu semua sudah suratan takdir bukannya salah ibu yang melahirkan kita.
Rangkap 3
Sudah menjadi kelaziman  manusia sering melebihkan orang   yang baru sehingga orang lama terasa disisihkan dan tidak diperlukan lagi.
TEMA
Kekecewaan dalam hidup.
PERSOALAN
1. Persoalan menyembunyikan hati yang terluka (rangkap 1)
2. Persoalan menerima suratan takdir (rangkap 2)
3. Persoalan mengutamakan yang baru berbanding yang lama. (rangkap 3)
BENTUK
1. Mempunyai  3 rangkap
2. Mempunyai 6 baris bagi setiap rangkap
3. Jumlah perkataan antara 4 hingga 5 perkataan sebaris
        Contoh : Putik kelapa menjadi muda ( 4 perkataan – rangkap 1)
Contoh : Sudah mendapat orang yang baru (5 perkataan – rangkap 3)
4. Terdiri daripada 8 hingga 12 suku kata.
5. Rima abcabc
6. Bentuk pantun terikat.
GAYA BAHASA
1. Unsur bunyi
Asonansi – hati luka pura tiada ( rangkap 1 baris 4) – pengulangan vokal ‘a’
Aliterasi – kail tersangkut di tepi batang ( rangkap 3 baris 3) – pengulangan konsonan ‘t’
2. Peribahasa
Ibarat kaca jatuh ke lantai ( rangkap 1 baris 6)
Ibarat melukut di tepi gantang (rangkap 3 baris 6)
3. Sinkope
Rasa pedih buat  tak tahu (rangkap 1 baris 5)
4. Repitisi
Sudah takdir sudah suratan (rangkap 2 baris 5)
5. Unsur alam
Haiwan –  ikan cencaru, ikan gelama
Tumbuhan – kelapa, kedondong, buluh,


NILAI
1. Nilai keredaaan.Contohnya reda dengan suratan takdir.
2. Nilai  ketabahan. Contohnya sentiasa tabah dengan kesedihan yang menimpa diri.

PENGAJARAN
1. Kita janganlah terlalu menunjukkan rasa kecewa.
2. Kita janganlah sesekali menyalahkan takdir.
3. Kita janganlah melupakan orang yang pernah berjasa kepada kita.


Latihan
1. Nyatakan maksud rangkap pertama pantun tersebut.
2. Berikan maksud ibarat melukut di tepi gantang.

ANALISIS DIRGAHAY BAHASAKU CERPEN TANGGAR AMANAT

                                        Cerpen Tanggar Amanat
                                      (Amaruszati Noor Rahim)
SINOPSIS
Di Yellowstone Hawa dan Adam iaitu sepasang suami isteri tinggal di situ. Hawa yang sedang hamil menghadapi konflik apabila Adam suaminya mengajaknya pulang ke Malaysia sedangkan dia ingin terus mempertahankan perusahaan warisan Taman Nasional Melayu Ahmad Abdullah yang pertama di situ. Tambahan lagi kawasan Yellowstone merupakan kawasan lingkaran gunung berapi. Dalam keadaan kebingungan ditinggalkan Adam, Hawa berhalunisasi dengan janin dalam kandungannya yang berdialog dengannya tentang kemusnahan yang akan dihadapi jika terus tinggal di situ. Atas nasihat dan pandangan yang diberikan olah janin dalam kandungannya, Hawa mengambil keputusan untuk mengikut Adam pulang ke Malaysia.

TEMA
Semangat patriotik yang disuntik bagi meneruskan warisan keluarga.Halunisasi janin dan Hawa menyebabkan Hawa mengambil keputusan kembali ke Malayisa mengikut suaminya Adam yang mahukan mereka meneruskan perusahaan warisan Taman Nasional Melayu Ahmad Abdullah.
Semangat

PERSOALAN
1. Persoalan kegigihan mencari rezeki di tempat orang. Adam gigih mencari rezeki di Yellowstone, Amerika Syarikat..
2. Persoalan perkahwinan campur di luar negara. Adam berasal dari Malaysia berkahwin dengan Hawa gadis kelahiran Yellowstone, Amerika Syarikat..
3. Persoalan kepincangan hidup di tempat orang. Kehidupan di luar negara tidak sama dengan kehidupan di tanah air sendiri.
4. Persoalan kepercayaan atas kuasa Yang Maha Besar. Hawa mengaku segala yang berlaku adalah ketentuan Allah.

PLOT
Secara keseluruhannya, plot cerpen ini digarap mengikut kronologi. Terdapat empat peringkat garapan plot iaitu:
(i) Permulaan
Plot dimulakan dengan memperkenalkan watak Hawa yang mengalami alahan semasa mengandung. Dia terkenangkan Adam yang entah ke mana setelah gagal memujuknya agar meninggalkan tempat itu setelah ada ramalan bahawa Yellowstone akan dilanda bencana.
(ii) Perkembangan
Setelah ditinggalkan Adam, Hawa mula berhalusinasi bahawa dia berada di alam rahim dan berkomunikasi dengan janinnya sendiri.
(iii) Konflik
Konflik timbul apabila janin membangkang keputusan Hawa untuk kekal di tempat itu
(iv) Klimaks
Hawa mula sedar bahawa keselamatan janinnya lebih penting berbanding kepentingan mempertahankan perusahaan di Yellowstone.
(v) Peleraian
Hawa tersedar dari halusinasinya kerana mendengar Adam memanggil namanya berkali-kali.

TEKNIK PLOT
1. Pemerian 
Contohnya :
..Roma tengkuknya meremang.  Topi jaket di tarik ke kepala yang pening semenjak subuh tadi.  Dunia bagai diayun.  Berdiri bagai tidak jejak bumi.  Loya menganggu tekak, tetapi dia…
2. Suspens 
Contohnya ;
Istighfarnya berenang dalam lautan merah.  Hangat terasa.  Di mana? Dalam lahar Yellowstone? Tidak mungkin.  Ini bukan hangat kawalan api Yellowstone.  Tidak mungkin dia hidup dalam tumbuhan gelegak lava.  Kalimah Lailahaillallah terdengar…

WATAK DAN PERWATAKAN
Watak Utama
1. Hawa
• Keturunan Ahmad Abdullah dan Maria Cruz Abdullah
• Seorang yang penyayang. Dia amat menyayangi anak dalam kandungannya dan suaminya, Adam.
• Seorang yang setia dengan hubungan keluarga. Amat menyayangi Adam suaminya.
• Seorang yang penakut. Dia takut kehilangan suaminya yang akan balik ke Malaysia.
• Isteri kepada Adam

Watak sampingan
1. Adam
• Suami Hawa
• Seorang yang penyabar.Sabar memujuk Hawa supaya mengikutnya kembali ke Malaysia.
• Mempunyai sifat patriotik yang tinggi . Ingin kembali  dan menetap ke Malaysia..
2. Janin
• Generasi ke-8 Ahmad Abdullah.
• Mempunyai keberanian yang tinggi untuk menyatakan pendiriannya.Berani memberi pandangan terhadap ibunya supaya mengikut ayahnya kembali ke Malaysia.
• Ikhlas memberi pandangan.Dia ikhlas member pandangan kepada ibunya.
• Mempunyai semangat patriotik yang tinggi.Mempunyai semangat patriotik terhadap tanah tumpah darah ayahnya, Adam.

LATAR
Latar Masa
1. Lapan tahun menunggu zuriat.
2. Generasi kelapan Ahmad Abdullah.
Latar tempat
1. Yellowstone.
2. Devils Tower.
3. Canyon Village.

Latar Masyarakat
1. Masyarakat yang penyayang terhadap hubungan kekeluargaan, iaitu Hawa yang menyayangi janinnya.
2. Masyarakat yang memperjuangkan warisan keluarga, Contohnya Hawa yang berkeras mahu mempertahankan perusahaan keluarganya.
3. Masyarakat yang maju dalam bidang perniagaan, Contohnya Perusahaan Taman Nasional Yellowstone yang sudah bertahan sehingga generasi kelapan.
4. Masyarakat yang percaya kepada kekuasaan Tuhan, Contohnya janin yang mendengar degupan jantung yang berzikir kepada Tuhan.

GAYA BAHASA
1. Kata ganda
Contohnya : tiba-tiba.
2. Metafora
Contohnya  :perut bumi.
3. Hiperbola
Contohnya : kita akan terpelanting, lebur, berkecai entah ke mana.
4. Simile
Contohnya : lidah merah melahap bagai naga menyemburkan api.
5. Personifikasi
Contohnya ; kita kembangkan sayap warisan di tempat lain.
6. Kata pinjaman
Contohnya :
Bahasa Arab (Kun Fayakun).

NILAI
1. Nilai kasih sayang, Contohnya Hawa menyayangi perusahaan keluarganya yang telah diwarisi turun-temurun.
2. Nilai kesabararan. Contohnya Adam masih bersabar dengan Hawa semasa menghadapi pertentangan pendapat.
3. Nilai ketabahan. Contohnya Ahmad Abdullah yang tabah menghadapi cabaran hidup di tempat orang.

PENGAJARAN
1. Kita hendaklah menyayangi sebarang usaha yang menjadi warisan keluarga. Contohnya Hawa yang sanggup mempertahankan perusahaan keluarganya di Yellowstone.
2. Kita hendaklah sabar menghadapi tekanan. Contohnya Adam yang bersabar dengan kedegilan Hawa.
3. Kita mestilah tabah. Contohnya Ahmad Abdullah yang tabah menempuh dugaan hidup di perantauan.


Latihan
1. Namakan tiga geiser air panas yang ada di Yellowstone.
2. Siapakah yang menjadi pengasas Taman Nasonal Yellowstone

Saturday, January 15, 2011

ANALISIS NOVEL SUTERA DALAM LUKISAN


                                                               Sutera Dalam Lukisan
                                                                (Abd. Talib Hassan)

SINOPSIS
Novel ini memaparkan kisah seorang pemuda yang mengalami konflik jiwa akibat kematian ibunya yang telah dibunuh oleh bapa tirinya.  Kenangan pahit itu telah menjadikan Bujei atau nama sebenarnya Mohamad Hafiz, akhirnya telah menjadi sasau akibat sering menjadi cemuhan, dipandang hina, dipermain dan diperbudakkan oleh masyarakat kampung malah  bapa tirinya, Harun juga sering menyeksanya malah telah cuba mengambil peluang untuk merampas hak milik Bujei yang ditinggalkan oleh arwah ibunya.Hidupnya keseorangan dan menanti permata hati untuk menerangi semula sinar hidupnya.  Kehadiran Adila telah mengubah segala-galanya dan Bujei mulai merasai erti sebuah kehidupan.  Namun banyak ranjau duri yang terpaksa diharunginya untuk meneruskan hubungan persahabatan bersama Adila.  Alias yang turut menyimpan perasaan terhadap Adila terus menyimpan dendam terhadap Bujei dan Adila.  Satu demi satu rancangan jahat diatur dalam usaha untuk memiliki Adila.  Bujei diperdaya hingga akhirnya dia mempercayai Adila akan mengahwini Alias malah Adila turut difitnah menghidap penyakit AIDS kerana pernah menuntut di luar negara.  Dendam yang kian membara menyebabkan Alias meminta khidmat neneknya untuk mendapatkan ilmu pengasih yang akan mendorong Adila tunduk kepada kehendaknya.  Alias yang dirasuk kerinduan akhirnya telah menjadi sasau dan sanggup merayu kepada Bujei untuk mengharapkan simpati serta pengertian daripada Bujei supaya memujuk Adila menerima dirinya.  Akhirnya, Alias sendiri terpaksa mendapatkan khidmat daripada dukun yang sama dalam usaha untuk memulihkannya.  Orang kampung pula kini telah melihat perubahan diri Bujei yang menjadi manusia normal berbanding Alias yang kini telah mengambil alih tempat Bujei. Sebelum pulang ke kota, Adila telah meluahkan isi hatinya kepada Sidang Saman dan isterinya tentang keputusannya untuk menerima Hafiz sebagai pasangan hidupnya. Adila akhirnya terpaksa kembali ke kota kerana ditawarkan pekerjaan sebagai seorang pensyarah di salah sebuah universiti swasta.

TEMA
Konflik jiwa seorang pemuda dalam mengharungi kehidupan setelah kematian kedua ibu bapa dan neneknya. Pandangan negatif orang kampung akibat fitnah yang ditabur oleh bapa tirinya telah membentuk keperibadiannya menjadi manusia abnormal.  Kehadiran Adila telah membawa sinar baru dalam hidup pemuda tersebut dan kembali menjadi manusia normal seperti sediakala.


PERSOALAN

1. Persoalan tanggungjawab membantu sesama manusia tanpa mengira sifat individu  seperti yang digambarkan melalui watak Adila yang begitu optimis untuk membentuk semula keperibadian abnormal yang dihidapi oleh Hafiz.
2. Persoalan menghormati hak individu tanpa menghilangkan hak diri sendiri yang digambarkan melalui watak Bujei atau nama sebenarnya Hafiz yang akhirnya sedar akan haknya setelah mendapat bimbingan dari Adila.
3. Persoalan kebaikan akan mengatasi kebatilan seperti yang tergambar dalam peristiwa Alias yang cuba mengenakan ilmu pengasih terhadap Adila telah menyebabkan dia mendapat pembalasan akibat perbuatannya sendiri.
4. Persoalan sifat kasih sayang dan hati yang luhur mampu mengubah sifat seseorang seperti yang digambarkan melalui watak Adila yang telah membimbing Bujei atau Hafiz untuk membentuk semula keperibadiannya telah berjaya mengubah Bujei menjadi insan yang berjaya.
5. Ketegasan dalam pendirian seperti yang tergambar melalui watak Wak Senen yang tegas dalam pendiriannya untuk mengembalikan hak Bujei yang telah dianiaya oleh bapa tirinya.
6. Persoalan jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Walaupun Adila pada asalnya begitu takut dengan Bujei, tetapi akhirnya telah memilih Bujei menjadi pasangan hidupnya. Walaupun telah bertunang dan berjanji sehidup semati dengan Faizal, tetapi akhirnya Faizal berkahwin dengan orang lain dan bukan dengan tunangnya Adila.
7. Persoalan berani mempertahankan hak atau harta daripada dirampas oleh orang lain. Bujei telah menunjukkan sikapnya yang tegas dan tidak boleh dipermainkan oleh Alias apabila meminta ganti rugi sebanyak RM80 sebagai gentian radionya yang telah rosak akibat perbuatan Alias.

PLOT

Plot dihuraikan secara kronologi iaitu bersandarkan kepada hukum sebab dan akibat. Manusia yang berbuat baik akan memperoleh pembalasan yang baik juga dan begitulah sebaliknya.
Binaan Plot
(i) Eksposisi(permulaan)
• Menceritakan watak utama iaitu Bujei yang digambarkan sering mengunjungi  latar tempat di kampung. Digambarkan juga  latar masa iaitu pada waktu senja dan latar masyarakat kampung Bujei yang telah menganggap Bujei sebagai insan abnormal.
(ii) Perkembangan
• Kematian ibu Bujei yang bernama Fatimah yang dibunuh oleh bapa tirinya merupakan titik hitam dalam kehidupannya.  Bujei menjadi sasau dan sering dicemuh dan dipermainkan oleh masyarakat kampung.  Perkenalan dengan Adila telah mengubah hidupnya menjadi seorang yang lebih berkeyakinan untuk meneruskan kehidupan.  Dalam masa yang sama dia menaruh hati kepada Adila.  Adila juga diminati oleh Alias, Sahak dan Faizal, bekas tunangnya.
(iii) Klimaks
• Alias berusaha menculik Adila dan dengan bantuan neneknya, mencari ubat pengasih untuk mendapatkan Adila. 
(iv) Peleraian
• Adila juga menaruh hati kepada Bujei (Hafiz).  Hal ini menyebabkan Alias menjadi sasau kerana cintanya tidak kesampaian. Adila ditawarkan untuk berkhidmat sebagai pensyarah di salah sebuah universiti swasta di kota.

TEKNIK PLOT
1. Pemerian
Contoh:  
• Anak sungai itu tidak begitu lebar. Hanya lebih kurang sembilan meter jarak antara dua belah tebing, tidak dalam dan agak cetek airnya ketika itu.

2. Dialog
Contoh: 
• ”Lepaskan motor aku ni... aku nak pergi ambil duit,” kata Alias.
3. Imbas Kembali
Contoh: 
• Dan dia sendiri telah menanam cita-cita untuk mengikut jejak bapanya. Tragedi pertama menimpanya apabila bapanya meninggal dunia dalam satu kemalangan di lebuh raya Karak.
4. Imbas Muka
Contoh: 
• Mungkinkah penyakit Adila sudah menjadi-jadi? Mungkinkah Adila sudah dibawa ke rumah sakit? Terlintas juga difikirannya untuk menjenguk dan melihat keadaan adila.
5. Monolog Dalaman
Contoh: 
• Dan sempat juga Adila memikirkan hal Bujei. Mungkin Bujei juga sudah tahu sehingga terasa malu untuk datang menemuinya. Dia terfikir untuk pulang ke kota, meninggalkan kampung yang tidak lagi memberi kedamaian kepadanya.
6. Suspens
Contoh:
• Sambil memaki-hamun, kata-kata makian yang sering digunakan oleh Alias ke atas dirinya, Bujei menghayunkan parangnya di arah Alias.

WATAK/PERWATAKAN

Watak Utama – Bujei/ Hafiz
• Bercita-cita untuk menjadi askar seperti arwah bapanya. Sewaktu dirinya kecil, dia sering menjadikan bapanya sebagai idola.
• Suka berangan-angan menonton dan mendengar radio yang telah rosak di rumahnya.
• Takut dengan Alias. Setiap perkara yang diminta oleh Alias akan dilakukan oleh Bujei tanpa sebarang bantahan.
• Tidak mementingkan kebersihan tetapi berubah setelah dilatih oleh Adila. Membuang perkakasan yang tidak berguna di rumahnya dan membakarnya di halaman rumah.
• Suka mendengar radio. Sanggup membeli radio baru sewaktu keluar pekan bersama Samsul.
• Mempunyai bakat menyanyi. Bujei menyanyi lagu Bahtera Merdeka sewaktu majlis perkahwinan Same’ah dan berjaya memukau orang ramai dengan kemerduan suaranya.
• Mempunyai sifat suka berjimat. Tidak menggunakan wang pemberian Wak Senen yang besar nilainya dan menyimpannya dengan rapi di dalam kendi di rumahnya.
• Pulih dari sikap abnormal menjadi normal dengan bantuan Adila. Keyakinan dirinya hadir kembali dengan bantuan Adila dan keluarga Sidang Saman.
• Anak yang bertanggungjawab. Cuba menyelamatkan ibunya daripada kebakaran rumahnya tetapi tidak berjaya kerana api marak terlalu cepat dan dia dihalang oleh orang ramai daripada memasuki rumahnya yang terbakar.
• Seorang pemuda yang mempunyai sikap abnormal. Dia membentuk peribadinya melalui pandangan penduduk kampung yang menganggapnya bodoh, dungu dan tidak berakal.
• Tidak memilih pekerjaan, asalkan mendatangkan upah untuk dia mengalas perut.

Watak sampingan
1. Adila
• Lulusan universiti luar negara iaitu di England.
• Mempunyai sifat optimis dan percaya sikap abnormal Bujei dapat dipulihkan.
• Telah bertunang dengan Faizal tetapi putus kerana Faizal tidak menepati janji dan berkahwin dengan orang lain. Akibat kecewa, dia telah membawa dirinya pulang ke kampung dan tinggal dengan keluarga Pak Longnya iaitu Sidang Saman dalam jangka masa yang panjang.
• Mempunyai pendirian yang tegas kerana menolak pinangan Alias dengan alasan belum bersedia untuk mendirikan rumahtangga.
• Lemah lembut dan hormat kepada orang lain terutamanya orang yang lebih tua. Sewaktu tinggal di kampung, Adila sering mendapat pujian penduduk kampung.
• Menjadi mangsa fitnah Alias. Alias telah memfitnah Adila telah ’rosak’ sewaktu belajar di luar negara.
• Jatuh cinta dengan Bujei/ Hafiz. Telah meluahkan isi hatinya kepada Sidang Saman dan isterinya tentang perasaannya terhadap Bujei sebelum pulang ke Kota.
2. Alias
• Suka membuli Bujei/ Hafiz. Contohnya meminta Bujei mencuci motosikalnya dengan menjanjikan upah tetapi memungkirinya.
• Suka kepada Adila dan menghantar pinangan tapi ditolak. Cuba mendekati Adila setelah gagal mendapatkan Same’ah.
• Suka terlibat dalam perlumbaan motor. Contohnya sewaktu berlumba motor dengannya, Sahak telah terlibat dalam kemalangan dan kritikal di hospital.
• Bercakap kasar. Contohnya sering bercakap kasar terutamanya dengan Bujei.
• Cuba menculik Adila dan mengenakan ilmu pengasih kepada Adila. Meminta bantuan dari neneknya untuk mencari ilmu pengasih.
• Cuba memfitnah Adila setelah pinangannya ditolak.
• Akhirnya menjadi sasau/ gila.

3. Sidang Saman
• Mengambil berat akan anak buahnya. Contohnya sering bertanyakan khabar Bujei dan akan meminta anaknya mencari Bujei sekiranya tidak melihat kelibatnya di kampung.
• Bijak memerangkap orang yang bersalah melalui kata-kata. Contohnya sewaktu berbicara dengan Harun yang meminta pandangannya ketika ingin menjual tanah pusaka arwah isterinya.
• Menjadi pangkal rujuk permasalahan Adila. Terutama sewaktu Adila mula jatuh cinta dengan Bujei.

4. Same’ah
• Bertimbangrasa dan baik dengan Bujei. Contohnya sering mengambil berat akan diri Bujei.
• Anak Sidang Saman.
• Berkahwin dan mengikut suaminya berpindah ke Ipoh.
5. Harun
• Seorang duda.
• Berkahwin dengan Fatimah, ibu Bujei setelah kematian bapa Bujei.
• Bekerja sebagai mandur di ladang kelapa sawit.
• Panas baran dan sering memukul serta mendera isterinya.
• Mengikis wang peninggalan bekas suami Fatimah.Melakukan keganasan terhadap isteri dan anak tirinya Bujei sehingga isterinya terbunuh dalam kebakaran akibat dari perbuatannya dan anak tirinya menjadi sasau.
• Suka berpura-pura. Contohnya berpura-pura baik dengan Bujei untuk mendapatkan tanda tangan Bujei bagi membolehkan dia menjual harta pusaka peninggalan Fatimah.
6. Wak Senen
• Suka bersedekah. Sering memberi wang kepada Bujei dengan nilaian yang besar.
• Baik hati. Contohnya sanggup memulangkan semula tanah pusaka peninggalan ibu Bujei yang telah dijual oleh bapa tirinya Harun.
• Mengambil tindakan dengan teliti. Contohnya sering berbincang dengan Sidang Saman sebelum melakukan sesuatu perkara seperti yang dilakukan sewaktu ingin memulangkan semula tanah pusaka Bujei.

GAYA BAHASA

1. Simile
Contoh:
• ”Jangan takut”. Dia mendengar lagi, seperti memujuk pula.
2. Personifikasi
Contoh:
• Angin lembut bersih menjamah tubuhnya dan ledakan bunyi air membuai perasaannya.
3. Hiperbola
Contoh:
• ”Macam seorang pembunuh yang suka membunuh orang... tak kira tempat atau masa, tak kira sesiapa aje?”
4. Sinkope
Contoh:
• Tak tentu perasaan Bujei mendengar suara Adila dan sebutan yang begitu hormat dirasakannya.
5. Metafora
Contoh: 
• Tidak pernah diduga, apa lagi mengharapkan satu lorong yang akan membebaskan dirinya daripada pasung peribadi itu.
6. Kata Ganda
Contoh:
• Dia bagaikan merindui tempat-tempat dan lorong-lorong yang biasa dikunjunginya.

NILAI

1. Nilai kasih sayang
Contoh:
• Bujei cuba menyelamatkan ibunya dalam kebakaran rumahnya. Ibunya pengsan setelah didera oleh bapa tirinya ketika itu.
2. Nilai hormat menghormati
Contoh:
• Adila telah memanggil Bujei dengan nama asalnya iaitu Hafiz.
3. Nilai baik hati
Contoh:
• Adila dan Samsul telah membawa Bujei ke klinik untuk mendapatkan rawatan setelah dibelasah oleh Harun.
4. Nilai keadilan
Contoh:
• Sidang Saman meminta Alias membayar ganti rugi atas kerosakan radio Bujei.
5. Nilai keberanian
Contoh:
• Bujei berani mempertahankan dirinya daripada ditindas oleh Alias.

PENGAJARAN

1. Kita hendaklah menerima ketentuan atau takdir Tuhan.
Contoh
• Bujei menerima hakikat ibunya yang meninggal dunia akibat perbuatan bapa tirinya.
2.  Kita janganlah bersifat dengki sesama manusia.
 Contoh: 
• Alias yang telah memfitnah Adila setelah pinangannya ditolak.
3.  Kita hendaklah membantu golongan yang kurang bernasib baik.
 Contoh: 
• Adila optimis dia boleh membantu Bujei memulihkan keperibadiannya dan perkara itu dapat direalisasikannya.
4.    Kita hendaklah berpegang teguh kepada janji yang telah dibuat.
 Contoh: 
• Faizal tidak menepati janjinya untuk bernikah dengan Adila kerana telah berkahwin dengan orang lain.
5.    Kita janganlah bercakap bohong.
 Contoh: 
• Alias telah membohongi Bujei dengan mengatakan bahawa Adila menghidapi penyakit Aids untuk menjauhkan perhubungan mereka.
6.    Kita janganlah mudah mempercayai perkara karut.
 Contoh:
• Alias berpakat dengan neneknya untuk mencari ilmu pengasih bagi mendapatkan cinta Adila.
7.    Kita janganlah mementingkan diri sendiri untuk mencapai cita-cita.
 Contoh: 
• Alias tidak mempedulikan Sahak yang terlibat dalam kemalangan sewaktu berlumba motor dengannya.

LATAR

Latar Masa
1. Waktu pagi  - ”Okey, Good moorning Bujei”
2. Waktu maghrib – Kedengaran bunyi azan maghrib dan spontan Sidang Saman menoleh ke belakangnya.
3. Waktu petang – Makin petang merangkak, makin galak agas-agas menghurungnya.
Latar Tempat
1. Di tebing sungai  -  Kadang-kadang di berada di tebing itu untuk  memancing.
2. Rumah Mak Usu Bakyah – Sebenarnya sudah agak lama Mak Usu Bakyah mengharapkan kedua-dua anak saudaranya bertandang tidur di rumahnya.
3. Di pekan -  Samsul membawa Bujei ke pekan untuk menggunting rambut,membeli radio,jam dan pakaian.
Latar Masyarakat
1. Masyarakat kampung yang memandang rendah kepada orang yang kurang bernasib baik.
Contoh:
• Kebanyakan orang mengatakan dia bodoh, dungu, tidak berakal lalu seperti tertunai hasrat mereka begitu.
2. Masyarakat kampung yang mempunyai norma kemanusiaan.
Contoh:
• Sidang Saman begitu mengambil berat tentang Bujei dengan membawa Bujei balik ke rumahnya setelah dipukul oleh Harun
3. Masyarakat yang mengambil kesempatan atas kesenangan orang lain.
Contoh:
• Baru sahaja beberapa bulan berkahwin, Harun sudah memujuknya untuk membeli kereta.


4. Masyarakat yang mengamalkan kerjasama.
Contoh:
Penduduk kampung bekerjasama untuk mengadakan majlis perkahwinan Same’ah.
5. Masyarakat  pendendam
Contoh:
Melihat Bujei kembali bersama Adila, kemarahannya makin menjadi. Dia makin berdendam dengan Bujei

Latihan
1. Berikan tiga latar masyarakat yang terdapat dalam novel Sutera dalam Lukisan
    karya Abd. Talib Hassan.
2. Nyatakan perwatakan Bujei dalam novel Sutera dalam Lukisan karya Abd. Talib Hassan.

Saturday, October 16, 2010

KOSA KATA: KONDUSIF, KONTROVERSI & KONSISTEN

Isnin, 2009 Ogos 10

KOSA KATA: KONDUSIF, KONTROVERSI & KONSISTEN

1. kondusif
sesuai, baik dsb. untuk membantu, mencapai atau mendorong menghasilkan sesuatu
Contoh ayat: Kerajaan negeri memberi jaminan akan terus menyediakan suasana ekonomi yang kondusif dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan asing.
2.kontroversi
Perselisihan /pertelingkahan pendapat dsb yang biasanya berlarutan
Contoh ayat: Kontroversi pemilihan peserta akhir Mentor 3 tentunya tidak akan mengganggu konsentrasi tiga protégé yang akan bersaing pada malam ini.
3.konsisten
Terus berpegang pada pendirian dsb yang sama, tekal; secocok, sesuai, sejajar
Contoh ayat: Tidak pernah kenal erti putus asa dan konsisten dengan prestasi terbaik merupakan resipi utama pasukan Selangor sepanjang musim ini dalam saingan Liga Malaysia.

Selasa, 2009 Ogos 04

KOSA KATA : INTIHA, ILTIZAM & MASLAHAT

SEGMEN KOSA KATA

1. intiha
(Arab) akhir, penghabisan, penutup
Contoh ayat: Sebagai intiha, pendidikan untuk perpaduan perlu dikaji semula supaya anak-anak Malaysia pascamerdeka memahami konsep dan peri penting perpaduan dalam kehidupan mereka.
2.iltizam
(Arab) keterlibatan secara bersungguh-sungguh dan penuh tanggungjawab dan melaksanakan sesuatu, komitmen
Contoh ayat: Iltizam untuk melakukan penambahbaikan perlu ada pada setiap individu.
3.maslahat
(Arab) sesuatu yang berfaedah (berguna), usaha dsb. yang mendatangkan faedah
Contoh ayat: Penyediaan kemudahan awam perlu dijaga dengan baik untuk maslahat orang ramai yang akan menggunakannya.

Rabu, 2009 Julai 29

KOSA KATA: 3 MODUS OPERANDI

Modus operandi: (bahasa pinjaman Latin)
Maksudnya: cara (prosedur dsb.) untuk melakukan (melaksanakan) sesuatu.

(a) Dalam tempoh enam bulan yang lalu, pihak polis menerima tiga aduan tentang kes penipuan menggunakan modus operandi yang sama.

(b) Kedua-dua kejadian jenayah di bandar itu memperlihatkan modus operandi yang sama.


Prakarsa :

Maksudnya: daya usaha, inisiatif, ikhtiar

Contoh ayat: Impian untuk memperoleh kejayaan tanpa prakarsa adalah sia-sia belaka.

Jerayawara (road show):
Maksudnya -persembahan, pameran, ceramah dsb yang diadakan oleh seseorang atau se kum pulan orang (penyanyi, ahli politik dsb) yang ber kunjung dari satu tempat ke tempat lain dengan tujuan memberikan hiburan, menjelaskan sesuatu isu kepada orang ramai, mempromosikan sesuatu dsb. Contoh ayat:
(a) Persatuan itu melaksanakan program pendedahan dan pendidikan, termasuk beberapa siri jerayawara yang meliputi seminar dan pa meran.
(b) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan mengadakan sesi jerayawara di semua Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi menerangkan proses penjualan PPR bermula bulan depan.

BIASAKAN YANG BETUL, BETULKAN YANG BIASA

Kata pemeri
Kesilapan Penggunaan adalah dan ialah

Kata pemeri ialah dan adalah merupakan kata tugas yang tergolong sebagai kata prafrasa. Kata pemeri ialah digunakan untuk menunjukkan persamaan dan hadir di hadapan frasa nama, manakala adalah menunjukkan huraian dan hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Contoh-contoh yang dapat dilihat daripada penggunaan kedua-dua kata pemeri ini adalah seperti berikut :

1). Kesilapan penggunaan kata adalah di tempat ialah
Contoh:

Anak adalah anugerah Allah. (Salah)
Anak ialah anugerah Allah. (Betul)

Pak Mat adalah orang yang pertama menerpka kawasan itu. (Salah)
Pak Mat ialah orang yang pertama meneroka kawasan itu. (Betul)

Matlamat AMAN adalah pembinaan masyarakat sejahtera. (Salah)
Matlamat AMAN ialah pembinaan masyarakat sejahtera. (Betul

2) Kesilapan penggunaan kata ialah di tempat adalah
Contoh:

Majalah ini ialah untuk kaum wanita sahaja. (Salah)
Majalah ini adalah untuk kaum wanita sahaja. (Betul)

Persembahan itu ialah baik. (Salah)
Persembahan itu adalah baik. (Betul)

3) Kesilapan penggunaan kata adalah di hadapan kata kerja.

Contoh:
Matlamat utama syarikat ini adalah membantu para golongan muda. (Salah )
Usaha yang dijalankan adalah menerbitkan risalah. (Salah )

Matlamat utama syarikat ini adalah untuk membantu para golongan muda. (Betul)
Usaha yang dijalankan adalah dengan menerbitkan risalah. (Betul)

4) Kesilapan penggunaan kata adalah pada awal ayat.
Contoh:

Adalah dengan ini diisytiharkan bahawa... (Salah )
Dengan ini dimaklumkan bahawa... (Betul )

Adalah dimaklumkan bahawa... (Salah )
Dengan ini dimaklumkan bahawa... (Betul)


5) Kesilapan penggunaan kata adalah dan kata kerja

Contoh:
Keputusan ini diambil adalah berdasarkan... (Salah)
Keputusan ini diambil berdasarkan... (Betul)

Para pelajar adalah dipelawa memohon... (Salah)
Para pelajar dipelawa memohon... (Betul)

Bangunan Blok G SMK King George V ialah bangunan sekolah
kedua yang diisytiharkan sebagai Warisan Negara
Kesimpulannya, Kata pemeri adalah hanya boleh diikuti oleh kata sendi nama dan kata adjektif yang bersifat huraian sahaja, manakala kata pemeri ialah hanya boleh diikuti oleh kata nama atau frasa nama. Sebaliknya, kata kerja atau frasa kerja tidak perlu didahului oleh kata pemeri, sama ada ialah atau adalah.

BEBERAPA KESALAHAN TATABAHASA YANG LAZIM

1 Tidak dapat membezakan antara kata sendi nama di dengan imbuhan di
a) salah - disekolah, dipasar, diJohor, disini, disamping, diutara
- di beri, di ambil, di hantar, di dapati, di anjurkan
b) betul - di sekolah, di pasar, di Johor, di sini, di samping, di utara
- diberi, diambil, dihantar, didapati, dianjurkan

2 Tidak dapat membezakan antara kata sendi nama ke dengan imbuhan ke
a) salah - keMelaka, kepadang, kesana, kehadrat, keselatan
b) betul - ke Melaka, ke padang, ke sana, kehendak, ketua, kekasih

3 Tidak dapat membezakan penggunaan dari dan daripada
a) dari - rumus A (arah), T (tempat), M (masa) = dari
- dari belakang, dari Perak, dari semalam
b) daripada - punca bagi manusia, haiwan, benda, dan unsur mujarad
- sumber atau asal kejadian sesuatu benda
- perbezaan dan perbandingan
- daripada guru besar, daripada getah, daripada markah

4 Mengulang kata selepas penanda jamak (banyak)
a) salah - semua guru-guru, segala alat-alat, kebanyakan ahli-ahli
b) betul - semua guru, segala alat, kebanyakan ahli

5 Tidak menggandakan kata bilangan himpunan
a) salah - beratus orang, beribu penonton, berguni padi
b) betul - beratus-ratus orang, beribu-ribu orang, berguni-guni padi

6 Kesalahan penggunaan kata darjah penghabisan
a) salah - paling tinggi sekali, terlalu mahal sekali
b) betul - paling tinggi, tinggi sekali, terlalu mahal, mahal sekali

7 Menggandakan kata selepas saling
a) salah - saling hormat-menghormati, saling bermaaf-maafan
b) betul - saling menghormati, hormat-menghormati, saling bermaafan

8 Pembentukan ayat pasif
a) Surat itu telah dihantar oleh kami. (salah)
Surat itu telah kami hantar. (betul)
b) Laporan itu perlu disiapkan oleh anda. (salah)
Laporan itu perlu anda siapkan. (betul)
c) Majalah itu telah mereka edarkan. (salah)
Majalah itu telah diedarkan oleh mereka. (betul)

9 Penggunaan –kan menggantikan akan
a) salah - sayangkan, rindukan, bencikan, cintakan
b) betul - sayang akan, rindu akan, benci akan, cinta akan

10 Menjarakkan imbuhan pinjaman
a) salah - juru taip, ko kurikulum, pasca moden, anti dadah
b) betul - jurutaip, kokurikulum, pascamoden, antidadah

Friday, October 15, 2010

KOLEKSI SOALAN KESALAHAN EJAAN DAN IMBUHAN

Unit 3 Sistem Ejaan dan Imbuhan

1. Dalam setiap ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan ejaan dan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

(i) Pengemis tua itu meniduri anak lelakinya di atas simin dengan beralaskan kotak.
(ii) Aktiviti membenteras kegiatan cetak rompak sedang bergiat dijalankan oleh pihak berkuasa.
(iii) Shahrul melanjutkan pelajaran ke luar negara untuk mendalamkan ilmu aero angkasa yang diminatinya sejak kecil.

2. Dalam setiap ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan ejaan dan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

(i) Alliah mata galak dan memiliki se-pasang kening yang cantik.
(ii) Nenek tidak dapat melihat dengan jelas kerana pandangnya kabor.
(iii) Ahli silap mata itu memperlihat kehebatannya mencucoh tangannya dengan api.

3. Dalam setiap ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan ejaan dan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

(i) Ideanya selalu menerima oleh gurunya kerana lojik dan bernas.
(ii) Seniwan  jalanan  itu  datang  ke Kuala  Lumpur  dengan  berbekalkan  sebuah  gitar  sebelum menjadi pemusik yang terkenal.
(iii) Pak Cik Hamid telah berkecempung dalam pasukan polis lamanya 20 tahun.

4. Dalam setiap ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan ejaan dan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

(i) Kerajaan menggalak pelancongan domestic untuk mengurangkan pengaliran wang ke luar negara.
(ii) Kerajaan  prihatin  terhadap  masalah  yang  ditanggong  oleh  golongan  ibu  tunggal  yang terpaksa menyara keluarga keseorangan.
(iii) Penghayatan  terhadap  erti  kemerdekaan  dititik  beratkan  oleh  kerajaan  dalam menyemai usaha menyintai negara.



5. Dalam setiap ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan ejaan dan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

(i) Pengetua menasihati para pelajar agar sentiasa berdisplin setiap kali himpunan
sekolah diadakan.
(ii) Kenaikkan kadar tambang bas sekolah mendapat tentangan daripada ibubapa.
(iii) Kerani itu mengcap dokumen itu lantas masukkannya ke dalam sampul surat.

6. Dalam setiap ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan ejaan dan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

(i) Kajian telah dibuktikan bahawa punca penyakit itu belum dapat dikenalpasti lagi.
(ii) Lukisan yang dipamirkan itu dihasil oleh kanak-kanak istimewa.
(iii) Berita hari ini tersiar insiden dua orang buruh binaan maut terkena kejutan letrik.

7. Dalam setiap ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan ejaan dan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

(i) Setia usaha itu ditugaskan oleh majikannya untuk menyedia laporan minit mesyuarat.
(ii) Perdana Menteri akan merasmikan pembukaan sekolah bahru yang melibatkan kos binaan sebanyak RM6 juta.
(iii) Semua pelajar yang sedang mengikut kursus pra-diploma Pengurusan Perniagaan di kolej itu diminta membayar yuran pengajian mereka selewat-lewatnya hujung bulan depan.

8. Dalam setiap ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan ejaan dan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.
(i) Semua tempat duduk sudah dipenuhi penuntun yang ingin saksikan persembahan teater.
(ii) Penciptaan sains dan teknologi moden turut dibawa kesan negetif kepada masyarakat.
(iii) Dapatan tokoh akademi masih diperlukan oleh negara walaupun mereka sudah bersara.





9. Dalam setiap ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan ejaan dan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.
(i) Pelita itu dipadam apabila dihembos oleh angin malam.
(ii) Perserta larian yang termengah-mengah itu berjaya tiba di garisan tamat.
(iii) Khidmat  bas  awam  di  kawasan  perumahan  itu  bukan  sahaja  tidak  berkualliti  malahan lambat.

10. Dalam setiap ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan ejaan dan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

(i) Kebanyakkan penduduk di kampung itu mengusahakan tanaman koko secara kecil   kecilan.
(ii) Saya tidak menyangka sama sekali bahawa pasangan suami-isteri itu sanggup menderakan anak mereka yang masih bayi.
(iii) Beg  yang  menggalasnya  itu  tercampak  ke  tengah  jalan  apabila  dirempuh  oleh  seorang pemuda yang menunggang motorsikal.