Thursday, March 31, 2011

CERPEN HARGA REMAJA MELISSA


komsas2a_header

Mellisa
(Abdullah Hussain)
Sinopsis

       Mellisa, seorang gadis Cina, berasa menyesal kerana mengikut ajakan Farid ke pejabat surat khabar yang menyebabkan dia berkenalan dengan Syahid. Peristiwa itu telah membuatkan dia teringat akan Hisyam. Wajah Syahid menyerupai wajah Hisyam iaitu kawannya sewaktu kecil dahulu. Mellisa terkenang akan kemesraannya bersama-sama dengan Hisyam. Mereka selalu bermain bersama-sama dan Hisyam pernah menyatakan hasratnya untuk berkahwin dengan Mellisa apabila mereka sudah besar nanti. Malangnya Hisyam telah terkorban dalam peristiwa 13 Mei. Peristiwa hitam itu sukar luput daripada ingatan Mellisa. Justeru, dia memilih peristiwa 13 Mei sebagai latihan ilmiah untuk sarjana muda dalam bidang Sejarah.
       Mellisa  jatuh hati kepada Syahid kerana keberaniannya dan hubungan mereka semakin rapat. Namun, keakraban Mellisa dan Syahid tidak lama kerana Mellisa meninggalkan Syahid. Dia mengambil keputusan itu kerana tugas dan tanggungjawabnya kepada tanah air. Dia amat cinta akan negaranya dan memilih untuk mengetepikan perasaan hatinya. Dia menjadi anggota tentera kerana tidak mahu peristiwa 13 Mei berulang lagi.

Tema

Percintaan antara dua insan yang berbeza budaya.
Mellisa seorang gadis berketurunan Cina, pernah menyulam kasih semasa zaman kanak-kanaknya dengan budak keturunan Minang namun kecundang kerana kematian menjemput Hisyam akibat rusuhan 13 Mei. Setelah dewasa, Mellisa jatuh cinta dengan Syahid yang juga pemuda Melayu dan seiras Hisyam namun akhirnya terpaksa meninggalkan Syahid tanpa berita kerana telah dipanggil bertugas sebagai tentera.

komsas2a_header

Persoalan

1.    Persoalan pengorbanan demi cinta akan negara.
 Mellisa sanggup mengorbankan keperluan dirinya dengan meninggalkan orang yang dicintai untuk menyahut panggilan mempertahankan negara.

2.    Persoalan persengketaan antara kaum
Hasyim dan ibunya telah menjadi mangsa rusuhan kaum pada 13 Mei di Jalan Petaling semasa dalam perjalanan pulang dari rumah keluarganya di hadapan Stadium Negara.
3.    Persoalan kesedaran terhadap sejarah negara.
Mellisa yang pernah melalui zaman 13 Mei mengkaji sejarah peristiwa itu melalui tesisnya hingga menimbulkan rasa tanggung jawab kepada negara dan tanah air.
Plot
Binaan Plot
1.    Permulaan
Mellisa atau Mei terperanjat melihat Syahid yang persis Hisyam kekasih zaman kanak-kanaknya setelah diperkenalkan oleh Farid di pejabat surat khabar. Bagi Mei, Hisyam seolah-olah wujud dalam diri jejaka itu menyebabkan mereka mudah mesra dan akhirnya Mei menerima pelawaan Syahid untuk makan tengah hari. Mei seolah-olah telah jatuh cinta pandang pertama kepada Syahid.

2.    Perkembangan
Mei teringat akan Hisyam, hero masa kecilnya yang selalu bermain dan menjaga keselamatannya. Hisyam juga sering menyatakan hasratnya akan mengahwini Mei apabila dewasa kelak. Kematian Hisyam dalam rusuhan kaum 13 Mei cukup berbekas dalam dirinya menyebabkan dia sering dihantui pertanyaan demi pertanyaan tentang punca peristiwa tersebut boleh meletus dalam kehidupan masyarakatnya. Akhirnya,
komsas2a_header

persoalan tersebut  mendapat penjelasan apabila Mei menjalankan latihan ilmiah untuk ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sejarah. Hubungan kilatnya dengan Syahid semakin akrab.

3.    Klimaks
Mei mendapat panggilan menjadi tentera setelah selesai menghabiskan pengajiannya dalam bidang Sejarah. Keputusan Mei meninggalkan Syahid untuk mencapai impiannya membuahkan perasaan marah dalam diri Syahid kerana Syahid berasa seolah-olah dipermain-mainkan oleh Mei.

4.    Peleraian.
Akhirnya gadis keturunan Cina ini melupakan keperluan dan angan-angannya untuk menjadi kekasih yang baik dan isteri yang taat demi ingin melihat negara dan rakyatnya  hidup dengan aman damai dan harmoni sebagai satu bangsa yang merdeka. Yang penting sekali agar peristiwa 13 Mei itu tidak akan berulang lagi.

Teknik penceritaan
1.    Imbas kembali
“Mei, Mei!” kata Hisyam.“Apabila aku sudah bekerja nanti kita kahwin.Mak aku pasti suka. Aku akan ajar kau agama Islam.”
Dia tersenyum. Terhibur dengan ingatannya masa kecil-kecil dahulu.

2.    Teknik Pemeriaan
Dalam kesibukan dan kebisingan bunyi mesin tulis dan komputer bercampur baur dengan deringan telefon dan suara manusia, seorang lelaki berjalan ke arahnya yang sedang berdiri di samping Farid.
komsas2a_header

3.    Teknik Monolog Dalaman
Aku tidak pernah bertemu dengan orang ini sebelum ini, bawah sedarnya berbisik.

4.    Teknik Dialog
 “Siapa?”
“Mei! Ada telefon.”
“Okey.Saya datang.”

Watak dan Perwatakan
Watak Utama
Mellisa
1.    Nama panggilannya ialah Mei.
2.    Gadis berketurunan Cina dan nenek moyangnya  berasal dari Guangdong.
3.    Seorang yang lincah, suka bercakap dan bersifat terbuka.
4.    Bersemangat patriotik
Mellisa seorang gadis yang sanggup meninggalkan keperluan diri semata-mata kecintaannya terhadap negara dengan menjadi tentera.
5.    Mempunyai daya ingatan yang tinggi.
Ingatan Mellisa terhadap semua peristiwa yang pernah berlaku pada zaman kanak-kanaknya bersama Hisyam seolah-olah baru berlaku sedangkan pada masa itu dia baru berumur 5 tahun. Ingatannya ini juga yang menyebabkan dia nekad mencari jawapan punca rusuhan yang meragut nyawa ‘hero’nya berlaku.
6.    Seorang yang terpelajar.
Mellisa merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sastera.
komsas2a_header

Watak Sampingan
Hisyam
1.    Berketurunan Minang.
2.    Seorang yang warak - rajin ke masjid terutama pada waktu maghrib.
3.    Penyayang - amat menyayangi Mellisa.
4.    Rajin – sering membantu ibunya menjual kuih koci dan nasi lemak setiap pagi.
5.    Bercita-cita  tinggi – dia ingin menjadi peguam atau tentera.
Syahid
1.    Pengarah Syarikat surat khabar
2.    Wajahnya persis Hisyam.
3.    Berani – dia  berani menghulurkan salam perkenalan kepada Mellisa.
4.    Suka berterus terang – dia berterus terang tentang perasaannya terhadap Mellisa.

Latar
Latar Masa
1.    Siang -  Pertemuan antara Farid dan Mellisa dengan Syahid di syarikat surat khabar.
2.    Senja atau waktu Maghrib -  Hisyam ke masjid untuk sembahyang berjemaah.
3.    13 Mei – berlakunya rusuhan kaum yang telah mengorbankan Hisyam.
Latar Tempat
1.    Pejabat Syahid -  Mellisa dan Farid berjumpa atas urusan kerja
2.    Rumah Mellisa, - Hisyam menumbuk anak orang putih yang memegang tangan Mellisa.

komsas2a_header

3.    Kampung Baru- tempat responden Mellisa menghantar sahabat baiknya balik ke rumah pada 13 Mei 1969, yang akhirnya menyebabkan tunangnya meninggal dunia dan mukanya berparut semasa bergelut dengan perusuh.
4.    Jalan Petaling, tempat berakhirnya riwayat Hisyam dan ibunya yang dibunuh perusuh.
Latar Masyarakat
1.    Masyarakat muda yang amat cinta akan negara
Mellisa amat cinta akan negara lebih-lebih lagi setelah mengetahui peristiwa yang menyebabkan rusuhan kaum yang berlaku pada zaman kanak-kanaknya dahulu.
2.    Masyarakat  berbilang kaum yang hidup harmoni
Keluarga Mellisa yang berketurunan Cina duduk sekampung dengan keluarga Hisyam dengan aman dan damai sehinggalah peristiwa berdarah 13 Mei berlaku. 
3.    Masyarakat pelajar yang gigih.
Mellisa  amat tekun menyiapkan tesisnya dengan membuat rujukan terperinci  dengan menyemak pelbagai dokumen, buku, akhbar dan majalah.
4.    Masyarakat  miskin
Hisyam tinggal di rumah setinggan.
5.    Masyarakat  majmuk yang bersengketa
Akibat sentimen yang ditanam oleh penjajah  kepada penduduk Tanah Melayu menyebabkan rusuhan kaum berlaku.

Gaya bahasa
1.    Simile
Kumisnya yang kecil bak satu garis hitam
2.    Peribahasa
Bertegang urat leher
Tidak lari gunung dikejar.
komsas2a_header

3.    Pesonifikasi
Angin utara itu telah menyerbu masuk ke dalam biliknya.
4.    Metafora
Bisul rusuhan
Nilai
1.    Nilai kasih sayang
Mellisa amat menyayangi Hisyam iaitu hero zaman kanak-kanaknya dan tetap terkenang akannya walaupun peristiwa yang meragut nyawa Hisyam telah lama berlalu.
2.    Nilai kegigihan.
Mellisa amat tekun dan gigih mencari maklumat tentang peristiwa yang mencetuskan peristiwa 13 Mei 1969, dengan mengumpul bukti bukan sahaja melalui pembacaan daripada pelbagai dokumen, tetapi melalui pertemuan bersama-sama responden yang terlibat secara terus dengan peristiwa berdarah itu.
3.    Nilai keberanian.
Hisyam amat berani melindungi Mellisa. Hisyam telah menumbuk  anak orang Inggeris yang memegang tangan Mellisa.
4.    Cinta akan tanah air
Mellisa seorang gadis yang sanggup meninggalkan keperluan diri semata-mata kecintaannya terhadap negara dengan menjadi tentera
Pengajaran
1.    Kita haruslah menyedari bahawa pertelingkahan antara kaum hanya akan menimbulkan masalah.
2.    Kita haruslah bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara agar pekerjaan yang kita lakukan akan membuahkan hasil yang memuaskan.
3.    Kita janganlah mudah menyimpan dendam terhadap mereka yang melakukan kesalahan terhadap kita.

komsas2a_header

4.    Kita mestilah mempunyai semangat cinta akan negara kerana dengan semangat inilah kita boleh hidup dengan aman dan sejahtera.

Latihan
1.    Mengapakah Mellisa mudah jatuh hati dengan Syahid?
2.    Jika Hisyam masih hidup, apakah impian yang mungkin akan dicapainya?



cerper harga remaja MEMORI SEORANG TUA


Cerpen Memori Seorang Tua
(Zahari Affandi)

Sinopsis
Pak Itam digambarkan seorang sebagai pejuang yang cekal. Dia telah beberapa kali keluar masuk penjara kerana penentangannya terhadap Inggeris. Beliau berhasrat untuk mengadakan majlis sambutan hari jadinya yang ke-85. Beliau turut bercadang untuk menjemput wartawan, mahasiswa universiti serta para penduduk Langat ke majlis berkenan  bagi berkongsi kisah perjuangannya. Ketika Pak Itam membaca majalah Mastika lama, beliau tersentuh akan paparan Siti Nurhidayah yang menuntut fasakh ketika beliau ditahan di penjara Singapura. Itulah kali terakhir beliau menatap wajah dua orang anaknya, Izwan dan Nuryani Iman.

            Tuk Mat merupakan orang yang banyak membantu Pak Itam menguruskan segala persiapan untuk majlis itu dan turut dibantu beberapa orang pemuda kampung seperti Isa, Latif dan Jali. Pada hari yng ditetapkan, Pak Itam lengkap berbaju Melayu menyambut tetamu. Orang kampung memenuhi tempat berlangsungnya majlis tersebut, namun Pak Itam kecewa kerana tetamu dari jauh masih belum sampai. Tambah mengecewakan Pak Itam kerana wartawan akhbar dan televisyen tidak muncul.Pak Itam merasakan segala pengorbanannya selama ini telah dilupakan.
            Apabila tiba waktu Zuhur, Pak Itam masuk untuk menunaikan solat. Kaih yang cemas cuba memberitahu perkara yang berlaku kepada Pak Itam. Apabila Tuk Mat mendekati Pak Itam yang terbaring di sejadah, beliau dilihat sudah meninggal dunia. Tetamu yang hadir membacakan surah Yasin untuk jenazah. Pada ketika itu, datang seorang perempuan tua mendekati jenazah membawa sejambak ros. Tatkala orang ramai tercengang memikirkan identiti perempuan tersebut, Tuk Mat menyapu air matanya dan menganggap hajat Pak Itam untuk bertemu isterinya, Siti Nurhidayah telah tercapai.



Tema
Semangat patriotik, iaitu tentang keinginan seorang tokoh yang ingin berkongsi memori lampaunya dengan masyarakat.
 Pak Itam ingin berkongsi perjuangan yang telah dilaluinya dengan anak cucunya dalam usaha beliau membebaskan negara ini daripada penjajahan.

Persoalan

1.     Persoalan kesediaan menghadapi cabaran.
Pak Itam terpaksa menempuh halangan dalam perjuangannya, iaitu terpaksa keluar masuk penjara kerana perjuangannya bertentangan dengan dasar pemerintahan  pada masa itu.

2.      Persoalan rasa tanggungjawab terhadap nasib yang akan dialami oleh anak bangsa.
Atas dasar tanggungjawab, Pak Itam berjuang untuk bangsa Melayu kerana dia ingin melihat bangsanya mendapat pendidikan yang tinggi serta tidak menjadi hamba di negara sendiri.

3.      Persoalan jati diri yang teguh.
       Pak Itam mempunyai jati diri dan pendirian yang teguh dari usia muda sehingga usianya mencecah 85 tahun.
 
Plot  

Binaan Plot 

(i)            Permulaan
Mengisahkan kehidupan zaman muda Pak Itam yang sering keluar masuk penjara kerana menentang penjajah. Perjuangan untuk memartabatkan orang Melayu amat menebal dalam jiwa Pak Itam.

(ii)          Perkembangan
Pak Itam melahirkan hasrat beliau untuk mengadakan majlis sambutan hari jadinya yang ke-85 tahun. Sambutan yang julung kali diadakan ini turut bertujuan untuk berkongsi pengalamannya sebagai seorang pejuang. Pak Itam juga turut menyatakan harapannya untuk melihat anak bangsanya hidup dengan sempurna dan bebas daripada sebarang bentuk penjajahan. Tetamu yang hadir pada sambutan majlis hari jadinya agak kurang dan ini menjadikan Pak Itam berasa sedih dan beranggapan bahawa pengorbanannya selama ini kian dilupakan.

(iii)         Klimaks
Pak Itam menghembuskan nafas terakhirnya di atas sejadah. Orang ramai yang hadir membaca surah Yasin untuknya.

(iv)         Peleraian
Kehadiran seorang wanita yang sudah berumur pada hari kematiannya membawa sejambak ros merah menjadikan  penduduk kampung tertanya-tanya. Hanya Tuk Mat mengerti dan berfikir dalam hatinya, hajat Pak Itam kesampaian juga.
 

Teknik Penceritaan
1.    Pemerian
Pak Itam toleh kiri kanan. Pokok pisang, pokok lengkuas, serai, betik dan rumput-rampai
sekitar rumahnya mengangguk perlahan ditiup angin pagi. Nyaman benar hidup di perkampungan, tetapi…

2.    Dialog
“Dah kaujemput budak-budak suratkhabar?” tanya Pak Itam.
“Sudah!” jawab Tuk Mat.

3.    Imbas Kembali
Tiba-tiba hatinya dipintali kesayuan. Di mana Siti Nurhidayah? Di mana Izwan dimana Nuryani Iman? Sudah berpuluh tahun berpisah.

4.    Monolog dalaman
Pak Itam sudah berfikir-fikir, budak-budak surat khabar sudah tentu akan mengerumuninya, menghulur berbelas, mungkin berpuluh kaset perakam suara mahu menemuramahnya.

Watak dan Perwatakan
Watak Utama

Pak Itam
1.    Berasal dari Kuala Semantan, Pahang.
2.    Berumur 85 tahun.
3.    Mempunyai isteri  iaitu, Siti Nurhidayah dan dua orang anak, iaitu Izwan dan Nuryani Iman yang terpisah sejak isterinya meminta fasakh ketika dia di penjara.
4.    Mempunyai seorang anak angkat bernama Sidah.

5.    Suka membaca. -, Pak Itam suka membaca akhbar dan majalah di kerusi malas di kaki lima rumahnya.
6.    Seorang nasionalis tulen. -  Pak Itam berjuang bukan untuk kepentingan diri sendiri tetapi untuk bangsanya.
7.    Seorang yang taat akan perintah agama.- Pak Itam sentiasa beribadat dan menggunakan waktu malam untuk mendekatkan diri kepada tuhan.
8.    Baik hati  - Pak Itam bersedia melayan tetamu yang datang untuk bertemu dengannya di rumah.

Watak Sampingan

Tuk Mat

1.    Bekas anggota polis.
2.    Jiran Pak Itam.
3.    Bertubuh sasa, kulit dan batang lengannya masih pejal dan kemas.
4.    Rajin. - beliau banyak membantu Pak Itam dalam usaha mengadakan sambutan hari lahirnya.
5.    Boleh diharapkan dan berdisiplin -, hal ini diakui oleh Pak Itam apabila membandingkan sifat anak-anak muda seperti Isa dan Latif dengan watak Tuk Mat.

Siti Nurhidayah

1.    Bekas isteri Pak Itam yang menuntut fasakh ketika Pak Itam berada di dalam penjara.
2.    Sempat hadir pada hari kematian Pak Itam.
3.    Mempunyai dua orang anak, iaitu Izwan dan Nuryani Iman.



Latar

Latar Masa

1.    Sehari sebelum hari lahir Pak Itam yang ke-85 tahun- Tuk Mat dan penduduk kampung sibuk menguruskan persiapan untuk majlis kenduri sempena hari jadi Pak Itam.
2.    Sebelum Zuhur - Pak Itam masih menanti. Dia amat kecewa.  Tuk Mat menyuruhnya berehat.
3.    Selepas Zuhur - Kiah menjerit memberitahu Tuk Mat bahawa Pak Itam sakit. Pak Itam meninggal dunia dan bacaan Yasin diadakan.

             
Latar Tempat

1.    Kediaman Pak Itam dan halaman rumahnya- tempat majlis kenduri sempena hari jadi Pak Itam dan pameran diadakan .
2.    Di kaki lima rumah Pak Itam -  tempat Pak Itam duduk sambil membaca akhbar dan majalah seharian di atas kerusi malas.
3.    Kampung Pak Itam di Hulu Langat- perkampungan yang nyaman tetapi mula tercemar apabila dua buah kilang dari Korea dan Jepun mula beroperasi.
4.    Penjara di Singapura - Siti Nurhidayah, isteri Pak Itam datang bersama dua orang anaknya membawa surat kadi meminta fasakh ketika Pak Itam meringkuk di situ.

Latar Masyarakat

1.    Masyarakat pejuang yang mencintai bangsa dan negara.
Pak Itam sanggup keluar masuk penjara kerana menentang Inggeris demi sayang akan bangsa dan negara.


2.    Masyarakat penulis dan wartawan.
 Pak Itam mewakili golongan masyarakat yang menentang penjajah menggunakan mata pena.

3.    Masyarakat kampung yang masih mengamalkan amalan gotong royong serta bekerjasama.
Tuk Mat dan beberapa orang pemuda kampung yang membantu Pak Itam mengadakan majlis sambutan hari jadi Pak Itam secara besar-besaran.
  .
Gaya Bahasa
1.    Simile - …kian mengecil seperti sebiji debu
2.    Peribahasa  - seperti enau di belukar
3.    Metafora  -tangisan ketakwaan
4.    Penggunaan Bahasa Inggeris  - vision, Happy Birthday To You
5.    Personifikasi  - Pungguk di belakang rumah terus merintih, merindu bulan…

Nilai
1.    Nilai pengorbanan.
Pak Itam sanggup menolak jawatan sebagai majistret demi cinta akan bangsa dan negara.
2.    Nilai cinta akan negara.
Pak Itam berjuang untuk membebaskan anak bangsanya daripada dibelenggu kemiskinan dan mahu melihat anak bangsanya mendapat pendidikan tinggi.
3.    Nilai bekerjasama.
Semua penduduk kampung tidak kira muda atau tua berganding bahu menjayakan persiapan majlis sambutan hari jadi Pak Itam.




Pengajaran

1.    Kita  hendaklah cinta akan bangsa dan negara agar tidak dijajah oleh bangsa lain.
2.    Kita wajarlah saling membantu dalam setiap usaha agar pekerjaan menjadi mudah.
3.    Kita hendaklah sentiasa mentaati perintah tuhan dengan meningkatkan amal ibadah agar mendapat kesenangan di kemudian hari.
4.    Kita haruslah mengenang jasa tokoh yang banyak berkorban  untuk bangsa dan negara walaupun masa berubah.


Latihan

1.    Siapakah yang membantu Pak Itam menguruskan persiapan majlis sambutan  hari jadinya?
2.    Nyatakan 2 tujuan Pak Itam mengadakan majlis sambutan hari jadinya?