Saturday, October 16, 2010

KOSA KATA: KONDUSIF, KONTROVERSI & KONSISTEN

Isnin, 2009 Ogos 10

KOSA KATA: KONDUSIF, KONTROVERSI & KONSISTEN

1. kondusif
sesuai, baik dsb. untuk membantu, mencapai atau mendorong menghasilkan sesuatu
Contoh ayat: Kerajaan negeri memberi jaminan akan terus menyediakan suasana ekonomi yang kondusif dalam usaha menarik lebih banyak pelaburan asing.
2.kontroversi
Perselisihan /pertelingkahan pendapat dsb yang biasanya berlarutan
Contoh ayat: Kontroversi pemilihan peserta akhir Mentor 3 tentunya tidak akan mengganggu konsentrasi tiga protégé yang akan bersaing pada malam ini.
3.konsisten
Terus berpegang pada pendirian dsb yang sama, tekal; secocok, sesuai, sejajar
Contoh ayat: Tidak pernah kenal erti putus asa dan konsisten dengan prestasi terbaik merupakan resipi utama pasukan Selangor sepanjang musim ini dalam saingan Liga Malaysia.

Selasa, 2009 Ogos 04

KOSA KATA : INTIHA, ILTIZAM & MASLAHAT

SEGMEN KOSA KATA

1. intiha
(Arab) akhir, penghabisan, penutup
Contoh ayat: Sebagai intiha, pendidikan untuk perpaduan perlu dikaji semula supaya anak-anak Malaysia pascamerdeka memahami konsep dan peri penting perpaduan dalam kehidupan mereka.
2.iltizam
(Arab) keterlibatan secara bersungguh-sungguh dan penuh tanggungjawab dan melaksanakan sesuatu, komitmen
Contoh ayat: Iltizam untuk melakukan penambahbaikan perlu ada pada setiap individu.
3.maslahat
(Arab) sesuatu yang berfaedah (berguna), usaha dsb. yang mendatangkan faedah
Contoh ayat: Penyediaan kemudahan awam perlu dijaga dengan baik untuk maslahat orang ramai yang akan menggunakannya.

Rabu, 2009 Julai 29

KOSA KATA: 3 MODUS OPERANDI

Modus operandi: (bahasa pinjaman Latin)
Maksudnya: cara (prosedur dsb.) untuk melakukan (melaksanakan) sesuatu.

(a) Dalam tempoh enam bulan yang lalu, pihak polis menerima tiga aduan tentang kes penipuan menggunakan modus operandi yang sama.

(b) Kedua-dua kejadian jenayah di bandar itu memperlihatkan modus operandi yang sama.


Prakarsa :

Maksudnya: daya usaha, inisiatif, ikhtiar

Contoh ayat: Impian untuk memperoleh kejayaan tanpa prakarsa adalah sia-sia belaka.

Jerayawara (road show):
Maksudnya -persembahan, pameran, ceramah dsb yang diadakan oleh seseorang atau se kum pulan orang (penyanyi, ahli politik dsb) yang ber kunjung dari satu tempat ke tempat lain dengan tujuan memberikan hiburan, menjelaskan sesuatu isu kepada orang ramai, mempromosikan sesuatu dsb. Contoh ayat:
(a) Persatuan itu melaksanakan program pendedahan dan pendidikan, termasuk beberapa siri jerayawara yang meliputi seminar dan pa meran.
(b) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan mengadakan sesi jerayawara di semua Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi menerangkan proses penjualan PPR bermula bulan depan.

BIASAKAN YANG BETUL, BETULKAN YANG BIASA

Kata pemeri
Kesilapan Penggunaan adalah dan ialah

Kata pemeri ialah dan adalah merupakan kata tugas yang tergolong sebagai kata prafrasa. Kata pemeri ialah digunakan untuk menunjukkan persamaan dan hadir di hadapan frasa nama, manakala adalah menunjukkan huraian dan hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Contoh-contoh yang dapat dilihat daripada penggunaan kedua-dua kata pemeri ini adalah seperti berikut :

1). Kesilapan penggunaan kata adalah di tempat ialah
Contoh:

Anak adalah anugerah Allah. (Salah)
Anak ialah anugerah Allah. (Betul)

Pak Mat adalah orang yang pertama menerpka kawasan itu. (Salah)
Pak Mat ialah orang yang pertama meneroka kawasan itu. (Betul)

Matlamat AMAN adalah pembinaan masyarakat sejahtera. (Salah)
Matlamat AMAN ialah pembinaan masyarakat sejahtera. (Betul

2) Kesilapan penggunaan kata ialah di tempat adalah
Contoh:

Majalah ini ialah untuk kaum wanita sahaja. (Salah)
Majalah ini adalah untuk kaum wanita sahaja. (Betul)

Persembahan itu ialah baik. (Salah)
Persembahan itu adalah baik. (Betul)

3) Kesilapan penggunaan kata adalah di hadapan kata kerja.

Contoh:
Matlamat utama syarikat ini adalah membantu para golongan muda. (Salah )
Usaha yang dijalankan adalah menerbitkan risalah. (Salah )

Matlamat utama syarikat ini adalah untuk membantu para golongan muda. (Betul)
Usaha yang dijalankan adalah dengan menerbitkan risalah. (Betul)

4) Kesilapan penggunaan kata adalah pada awal ayat.
Contoh:

Adalah dengan ini diisytiharkan bahawa... (Salah )
Dengan ini dimaklumkan bahawa... (Betul )

Adalah dimaklumkan bahawa... (Salah )
Dengan ini dimaklumkan bahawa... (Betul)


5) Kesilapan penggunaan kata adalah dan kata kerja

Contoh:
Keputusan ini diambil adalah berdasarkan... (Salah)
Keputusan ini diambil berdasarkan... (Betul)

Para pelajar adalah dipelawa memohon... (Salah)
Para pelajar dipelawa memohon... (Betul)

Bangunan Blok G SMK King George V ialah bangunan sekolah
kedua yang diisytiharkan sebagai Warisan Negara
Kesimpulannya, Kata pemeri adalah hanya boleh diikuti oleh kata sendi nama dan kata adjektif yang bersifat huraian sahaja, manakala kata pemeri ialah hanya boleh diikuti oleh kata nama atau frasa nama. Sebaliknya, kata kerja atau frasa kerja tidak perlu didahului oleh kata pemeri, sama ada ialah atau adalah.

BEBERAPA KESALAHAN TATABAHASA YANG LAZIM

1 Tidak dapat membezakan antara kata sendi nama di dengan imbuhan di
a) salah - disekolah, dipasar, diJohor, disini, disamping, diutara
- di beri, di ambil, di hantar, di dapati, di anjurkan
b) betul - di sekolah, di pasar, di Johor, di sini, di samping, di utara
- diberi, diambil, dihantar, didapati, dianjurkan

2 Tidak dapat membezakan antara kata sendi nama ke dengan imbuhan ke
a) salah - keMelaka, kepadang, kesana, kehadrat, keselatan
b) betul - ke Melaka, ke padang, ke sana, kehendak, ketua, kekasih

3 Tidak dapat membezakan penggunaan dari dan daripada
a) dari - rumus A (arah), T (tempat), M (masa) = dari
- dari belakang, dari Perak, dari semalam
b) daripada - punca bagi manusia, haiwan, benda, dan unsur mujarad
- sumber atau asal kejadian sesuatu benda
- perbezaan dan perbandingan
- daripada guru besar, daripada getah, daripada markah

4 Mengulang kata selepas penanda jamak (banyak)
a) salah - semua guru-guru, segala alat-alat, kebanyakan ahli-ahli
b) betul - semua guru, segala alat, kebanyakan ahli

5 Tidak menggandakan kata bilangan himpunan
a) salah - beratus orang, beribu penonton, berguni padi
b) betul - beratus-ratus orang, beribu-ribu orang, berguni-guni padi

6 Kesalahan penggunaan kata darjah penghabisan
a) salah - paling tinggi sekali, terlalu mahal sekali
b) betul - paling tinggi, tinggi sekali, terlalu mahal, mahal sekali

7 Menggandakan kata selepas saling
a) salah - saling hormat-menghormati, saling bermaaf-maafan
b) betul - saling menghormati, hormat-menghormati, saling bermaafan

8 Pembentukan ayat pasif
a) Surat itu telah dihantar oleh kami. (salah)
Surat itu telah kami hantar. (betul)
b) Laporan itu perlu disiapkan oleh anda. (salah)
Laporan itu perlu anda siapkan. (betul)
c) Majalah itu telah mereka edarkan. (salah)
Majalah itu telah diedarkan oleh mereka. (betul)

9 Penggunaan –kan menggantikan akan
a) salah - sayangkan, rindukan, bencikan, cintakan
b) betul - sayang akan, rindu akan, benci akan, cinta akan

10 Menjarakkan imbuhan pinjaman
a) salah - juru taip, ko kurikulum, pasca moden, anti dadah
b) betul - jurutaip, kokurikulum, pascamoden, antidadah

Friday, October 15, 2010

KOLEKSI SOALAN KESALAHAN EJAAN DAN IMBUHAN

Unit 3 Sistem Ejaan dan Imbuhan

1. Dalam setiap ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan ejaan dan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

(i) Pengemis tua itu meniduri anak lelakinya di atas simin dengan beralaskan kotak.
(ii) Aktiviti membenteras kegiatan cetak rompak sedang bergiat dijalankan oleh pihak berkuasa.
(iii) Shahrul melanjutkan pelajaran ke luar negara untuk mendalamkan ilmu aero angkasa yang diminatinya sejak kecil.

2. Dalam setiap ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan ejaan dan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

(i) Alliah mata galak dan memiliki se-pasang kening yang cantik.
(ii) Nenek tidak dapat melihat dengan jelas kerana pandangnya kabor.
(iii) Ahli silap mata itu memperlihat kehebatannya mencucoh tangannya dengan api.

3. Dalam setiap ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan ejaan dan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

(i) Ideanya selalu menerima oleh gurunya kerana lojik dan bernas.
(ii) Seniwan  jalanan  itu  datang  ke Kuala  Lumpur  dengan  berbekalkan  sebuah  gitar  sebelum menjadi pemusik yang terkenal.
(iii) Pak Cik Hamid telah berkecempung dalam pasukan polis lamanya 20 tahun.

4. Dalam setiap ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan ejaan dan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

(i) Kerajaan menggalak pelancongan domestic untuk mengurangkan pengaliran wang ke luar negara.
(ii) Kerajaan  prihatin  terhadap  masalah  yang  ditanggong  oleh  golongan  ibu  tunggal  yang terpaksa menyara keluarga keseorangan.
(iii) Penghayatan  terhadap  erti  kemerdekaan  dititik  beratkan  oleh  kerajaan  dalam menyemai usaha menyintai negara.



5. Dalam setiap ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan ejaan dan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

(i) Pengetua menasihati para pelajar agar sentiasa berdisplin setiap kali himpunan
sekolah diadakan.
(ii) Kenaikkan kadar tambang bas sekolah mendapat tentangan daripada ibubapa.
(iii) Kerani itu mengcap dokumen itu lantas masukkannya ke dalam sampul surat.

6. Dalam setiap ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan ejaan dan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

(i) Kajian telah dibuktikan bahawa punca penyakit itu belum dapat dikenalpasti lagi.
(ii) Lukisan yang dipamirkan itu dihasil oleh kanak-kanak istimewa.
(iii) Berita hari ini tersiar insiden dua orang buruh binaan maut terkena kejutan letrik.

7. Dalam setiap ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan ejaan dan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

(i) Setia usaha itu ditugaskan oleh majikannya untuk menyedia laporan minit mesyuarat.
(ii) Perdana Menteri akan merasmikan pembukaan sekolah bahru yang melibatkan kos binaan sebanyak RM6 juta.
(iii) Semua pelajar yang sedang mengikut kursus pra-diploma Pengurusan Perniagaan di kolej itu diminta membayar yuran pengajian mereka selewat-lewatnya hujung bulan depan.

8. Dalam setiap ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan ejaan dan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.
(i) Semua tempat duduk sudah dipenuhi penuntun yang ingin saksikan persembahan teater.
(ii) Penciptaan sains dan teknologi moden turut dibawa kesan negetif kepada masyarakat.
(iii) Dapatan tokoh akademi masih diperlukan oleh negara walaupun mereka sudah bersara.





9. Dalam setiap ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan ejaan dan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.
(i) Pelita itu dipadam apabila dihembos oleh angin malam.
(ii) Perserta larian yang termengah-mengah itu berjaya tiba di garisan tamat.
(iii) Khidmat  bas  awam  di  kawasan  perumahan  itu  bukan  sahaja  tidak  berkualliti  malahan lambat.

10. Dalam setiap ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan ejaan dan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

(i) Kebanyakkan penduduk di kampung itu mengusahakan tanaman koko secara kecil   kecilan.
(ii) Saya tidak menyangka sama sekali bahawa pasangan suami-isteri itu sanggup menderakan anak mereka yang masih bayi.
(iii) Beg  yang  menggalasnya  itu  tercampak  ke  tengah  jalan  apabila  dirempuh  oleh  seorang pemuda yang menunggang motorsikal.

KOLEKSI SOALAN MORFOLOGI

Seksyen B – Koleksi Soalan Pengetahuan dan Kemahiran Bahasa

Unit 1 Morfologi
1. Tulis satu ayat bagi tiap-tiap perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan perbezaan maksud  dan  penggunaannya.  Anda  tidak  boleh  menambahkan  imbuhan,  menukarkan  imbuhan  atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa dan nama khas.

(i) sangat-sangat
(ii) agak-agak
(iii) benar-benar
(iv) erat-erat
(v) nyaris-nyaris
(vi) hampir-hampir

2. Tulis satu ayat bagi tiap-tiap perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan perbezaan maksud  dan  penggunaannya.  Anda  tidak  boleh  menambahkan  imbuhan,  menukarkan  imbuhan  atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa dan nama khas.

(i) alat bantu
(ii) buah tangan
(iii) anak gahara
(iv) garis panduan
(v) kertas putih
(vi) orang kaya

3. Tulis satu ayat bagi tiap-tiap perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan perbezaan maksud  dan  penggunaannya.  Anda  tidak  boleh menambahkan  imbuhan,  menukarkan  imbuhan  atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa dan nama khas.

(i) mandi-manda
(ii) kusut-masai
(iii) compang-camping
(iv) culang-caling
(v) bolak-balik
(vi) porak-peranda




4. Tulis satu ayat bagi tiap-tiap perkataan dalam pasangan perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda  faham  akan  perbezaan  maksud  dan  penggunaannya.  Anda  tidak  boleh  menambahkan  imbuhan,menukarkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa dan nama khas.

(i) merentas – mencantas
(ii) menumpang – menampung
(iii) menyebak – merebak

5. Tulis satu ayat bagi tiap-tiap perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan perbezaan maksud  dan  penggunaannya.  Anda  tidak  boleh  menambahkan  imbuhan,  menukarkan  imbuhan  atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa dan nama khas.

(i) mengilai
(ii) menggila
(iii) menonton
(iv) menuntun
(v) melancong
(vi) melancung

6. Tulis satu ayat bagi tiap-tiap perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan perbezaan maksud  dan  penggunaannya.  Anda  tidak  boleh  menambahkan  imbuhan,  menukarkan  imbuhan  atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa dan nama khas.

(i) balas
(ii) berbalas
(iii) membalas
(iv) pembalas
(v) pembalasan
(vi) balas-membalas

7. Tulis satu ayat bagi tiap-tiap perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan perbezaan maksud  dan  penggunaannya.  Anda  tidak  boleh  menambahkan  imbuhan,  menukarkan  imbuhan  atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa dan nama khas.
(i) politeknik
(ii) monokrasi
(iii) automotif
(iv) antidadah
(v) mahasiswa
(vi) supranasional

8. Tulis satu ayat bagi tiap-tiap perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan perbezaan maksud  dan  penggunaannya.  Anda  tidak  boleh  menambahkan  imbuhan,  menukarkan  imbuhan  atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa dan nama khas.

(i) jurang
(ii) curang
(iii) akaun
(iv) akuan
(v) ampuh
(vi) angkuh

9. Tulis satu ayat bagi tiap-tiap perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda faham akan perbezaan maksud dan penggunaannya.Anda tidak boleh menambahkan  imbuhan,  menukarkan  imbuhan  atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa dan nama khas.

(i) memenuhi
(ii) memadati
(iii) memuatkan
(iv) mengisi
(v) menyusun
(vi) mengumpulkan

10. Tulis satu ayat bagi tiap-tiap perkataan dalam pasangan perkataan di bawah untuk menunjukkan bahawa anda  faham  akan  perbezaan  maksud  dan  penggunaannya.  Anda  tidak  boleh  menambahkan  imbuhan,menukarkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa dan nama khas.

(i) terdampar – terpapar
(ii) merajuk – merujuk
(iii) pengarah – pengaruh

Thursday, October 14, 2010

KAEDAH MENJAWAB SOALAN PEMAHAMAN PUISI (SAJAK/ PANTUN/ SYAIR/ GURINDAM/ SELOKA/ DLL)

1. Gunakan Bahasa Melayu Moden. Tukarkan bahasa puisi kepada bahasa Melayu  moden.
2. Gunakan ayat yang lengkap. Jangan gunakan poin atau tidak mengulas ayat   soalan.
3. Pastikan isi cukup berdasarkan jumlah markah yang diberi.
4. Sebaiknya, 1 ayat 1 isi. (Maksimum 1 ayat, 2 isi)
5. Gunakan penanda wacana untuk menyambung setiap ayat.
6. Jika soalan berbentuk umum, jangan rujuk petikan puisi. Fikirkan jawapan sendiri.
7. Soalan nilai/ persoalan/ pengajaran/ perwatakan : Lihat bentuk perkataan atau kunci kata soalan sama ada perlukan contoh atau tidak. (sila rujuk "Latihan Pemahaman Prosa Tradisional dalam blog ini)
i. Jika soalan berbunyi "nyatakan" atau "berikan" : anda hanya perlu menyenaraikan nilai/ persoalan/ pengajarannya sahaja tanpa memberi contoh atau huraian.
ii. Jika soalan berbunyi "Jelaskan/ huraikan/ bincangkan/ terangkan" : anda perlu menulis nilai/ persoalan/ pengajaran dan sebagainya serta memberi contoh atau huraiannya sekali. Jika tiada huraian diberi, anda hanya akan diberi 1/2 markah. Jika anda hanya memberi contoh tetapi tidak menulis nilai , tiada markah akan diberi.

PROSA
Kaedah Menjawab Prosa Moden/Klasik/ Tradisional.

1. Ayat yang digunakan mestilah ditukar menjadi bahasa Melayu moden. Jangan gunakan ayat bahasa klasik lagi kerana akan ditolak 50% markah.

2. Pastikan jumlah isi cukup seperti diminta berdasarkan jumlah yang diberi di kanan soalan. Jangan berpuas hati memberi satu isi dan mengharapkan pemeriksa memberi markah yang banyak.

3. Gunakan ayat yang lengkap semasa menjawab. Jangan gunakan kaedah 'point form' atau terus memberi isi tanpa mengulas ayat daripada soalan.

4. Jika soalan "berdasarkan pendapat anda" atau soalan yang tidak dirujuk pada petikan, binalah isi sendiri tanpa merujuk petikan diberi. Biasanya ada satu soalan berbentuk umum begini dalam setiap petikan soalan yang diberi.

5. Amalkan menggunakan "satu ayat, satu isi" atau maksimum "satu ayat, dua isi" untuk jawapan anda. Untuk ayat baru/ sambungan isi, gunakan penanda wacana yang sesuai.

6. Jaga struktur ayat, ejaan dan aspek tatabahasa dalam ayat jawapan anda. Selalunya jika terlalu banyak kesalahan, markah akan ditolak 50% daripada jumlah markah.

7. Bagi soalan aspek komsas (nilai/ persoalan/ pengajaran/ bahasa) pastikan:
i. Jika soalan berbunyi "nyatakan" atau "berikan" : anda hanya perlu menyenaraikan nilai/ persoalan/ pengajarannya sahaja tanpa memberi contoh atau huraian.
ii. Jika soalan berbunyi "Jelaskan/ huraikan/ bincangkan/ terangkan" : anda perlu menulis nilai/ persoalan/ pengajaran dan sebagainya serta memberi contoh atau huraiannya sekali. Jika tiada huraian diberi, anda hanya akan diberi 1/2 markah. Jika anda hanya memberi contoh tetapi tidak menulis nilai , tiada markah akan diberi.

Wednesday, October 13, 2010

ANALISIS NOVEL TINGKATAN 4 Ke Arah SPM

1.         Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut:

(i) Azfa Hanani karya Halis Azhan Mohd Hanafiah
(ii) PAPA…(akhirnya kau tewas jua!) karya Deana Yusof
(iii) Renyah karya Gunawan Mahmood
(iv) Melunas Rindu karya Hartini Hamzah

(a) Jelaskan dua pengajaran yang terdapat dalam sebuah novel yang anda pelajari.
(b) Berdasarkan novel yang anda pelajari, huraikan dua persoalan daripada novel tersebut.

JAWAPAN
1
(i) Novel Azfa Hanani

(a) Pengajaran yang terkandung dalam novel ini ialah:
Kita hendaklah sedia berkorban demi kesejahteraan orang lain.
Contohnya, Azfa Hanani yang sanggup menerima tawaran Tengku Mazran untuk menyamar
sebagai arwah adiknya, Tengku Murni setelah Tengku Mazran berjanji untuk menanggung kos
perubatan penyakit sepupunya Zurina.

Kita perlu berusaha untuk memperbaik kelemahan diri.
Contohnya, Azfa Hanani yang belajar bahasa Inggeris dan bahasa Jepun di Institut Lingua Franca
bagi mengatasi kelemahannya dalam bahasa Inggeris.

(b) Persoalan yang terkandung dalam novel ini ialah:
Kehilangan anak tersayang yang menyebabkan penderitaan batin.
Contohnya, Datin Maziah yang tidak dapat menerima hakikat bahawa anak gadisnya, Tengku
Murni telah meninggal dunia dalam kemalangan menghadapi tekanan jiwa.

Perhubungan yang terhalang kerana perbezaan darjat.
Contohnya, perhubungan antara Tengku Murni dengan Ekran tidak direstui oleh keluarga Tengku
Murni dan Tengku Muzaffar berusaha untuk memisahkan hubungan mereka. Keluarga Tengku
Murni menganggap Ekran berasal dari keluarga yang susah kerana sikap merendah diri Ekran.

 (ii) Novel PAPA…(akhirnya kau tewas jua!)
(a) Pengajaran yang terkandung dalam novel ini ialah:
Janganlah membelakangkan aspek kesihatan dalam memenuhi keinginan mahu mendapatkan zuriat.
Contohnya, Intan Maliana yang ingin memenuhi impian suaminya Jeffri, membelakangkan risiko
yang bakal dihadapinya memandangkan dia pernah mengalami komplikasi yang teruk semasa
melahirkan Intan Julia.

Kita hendaklah bertanggungjawab terhadap kepercayaan yang diberikan untuk melaksanakan sesuatu tugas.
Contohnya, Jeffri telah melaksanakan tanggungjawab sebagai bapa dengan menjaga Intan Julia
dengan sebaik-baiknya semasa isterinya koma dan dia juga telah menjaga isterinya yang koma
dengan baik walaupun terpaksa meninggalkan beberapa aktiviti yang sering dilakukannya semasa
isterinya sihat.


(b) Persoalan yang terkandung dalam novel ini ialah:
Kasih sayang suami kepada isteri.
Jeffri sangat mengasihi isterinya. Demi kasih sayangnya, Jeffri sanggup menjaga isterinya yang sakit
di rumah.

Ketabahan menghadapi dugaan daripada Tuhan.
Ketabahan Jeffri diuji ketika isterinya koma. Dia tidak berputus asa berusaha untuk mengubati
isterinya supaya pulih seperti sediakala. Ketabahan Jeffri juga jelas semasa menghadapi kematian
anak kembarnya.


(iii) Novel Renyah
(a) Pengajaran yang terkandung dalam novel ini ialah:
Jangan mengamalkan rasuah untuk hidup senang.
Contohnya, Hasnol yang kesempitan wang menerima rasuah sebanyak RM300 ribu daripada
Tengku Munir bagi mempengaruhi jabatan tender agar meluluskan tender-tendernya. Hasnol
bernasib malang, apabila Tengku Munir tidak berpuas hati dan melaporkan hal itu kepada Menteri
Besar yang akhirnya Hasnol ditahan atas kes rasuah.

Kita hendaklah menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diberikan dengan bersungguh-
sungguh supaya dapat mencapai kejayaan.
Contohnya, Amera yang menjalankan tugasnya sebagai pendidik dengan penuh dedikasi sehingga
dipilih sebagai Tokoh Pendidik Cemerlang Negeri.

(b) Persoalan yang terkandung dalam novel ini ialah:
Golongan muda yang terlibat dalam kegiatan dakwah secara melulu.
Contohnya, Mukhlis yang menyertai kegiatan dakwah tanpa ilmu yang mencukupi sehingga
terjebak dalam masalah kehidupan.

Sikap tamak yang menguasai diri sehingga terlibat dalam rasuah.
Contohnya, Hasnol yang kesempitan wang akhirnya menerima tawaran sebanyak RM300 ribu bagi
membantu Tengku Munir mendapatkan tendernya.

 (iv) Novel Melunas Rindu
(a) Pengajaran yang terkandung dalam novel ini ialah:
Kita mesti taat dalam mengerjakan suruhan Tuhan.
Contohnya, Fuad yang tidak pernah meninggalkan solat walaupun ketika bermusafir. Dia juga rajin
membaca al-Quran dan solat secara berjemaah.

Kita mestilah sentiasa berusaha bagi mencapai sesuatu yang diinginkan.
Fuad telah berusaha untuk mencari ibu kandungnya melalui keluarga sebelah ibu kandungnya
sehingga bertemu dengan ibu kandungnya semula.

(b) Persoalan yang terkandung dalam novel ini ialah:
Cinta adik-beradik terjalin akibat tidak mengenali asal usul.
Fuad terpaksa menerima hakikat bahawa gadis yang dicintainya ialah adiknya sendiri.

Bertanggungjawab terhadap tugasan yang diamanahkan.
Fuad menjalankan tugasnya sebagai guru sandaran dengan penuh dedikasi.



Ke Arah SPM
2. Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut:
(i) Azfa Hanani karya Halis Azhan Mohd Hanafiah
(ii) PAPA…(akhirnya kau tewas jua!) karya Deana Yusof
(iii) Renyah karya Gunawan Mahmood
(iv) Melunas Rindu karya Hartini Hamzah

(a) Latar tempat merupakan ruang sesuatu peristiwa itu berlaku serta dapat mencerminkan perwatakan sesuatu watak.
Jelaskan latar tempat dalam novel yang telah anda pelajari.

(b) Huraikan secara ringkas bahagian peleraian novel yang telah anda kaji.

JAWAPAN Ke Arah SPM
2
(i) Novel Azfa Hanani
(a) Latar tempat yang terkandung dalam novel ini ialah:
Di Sekolah Menengah Sri Diah : Sekolah lama Hanani yang terletak kira-kira 15 kilometer dari
rumahnya.
Di Sekolah Menengah Taman Sari : Tempat Hanani belajar semasa dia menyamar sebagai Tengku
Murni.
Di Hotel Universe : Tempat Hanani diajar oleh Tengku Mazran cara-cara untuk makan, minum, dan
bertutur apabila berhadapan dengan Tengku Maziah.
Di Institut Lingua Franca : Tempat Hanani belajar bahasa Inggeris dan bahasa Jepun.
Di banglo Datin Maziah : Tempat Tengku Maziah dan Datuk Tengku Makmur tinggal bersama-
sama dengan anak-anaknya dan tempat Hanani menyamar sebagai Tengku Murni.

(b) Peleraian novel ini ialah:
Keluarga Datin Maziah datang ke rumah pak long Hanani. Mereka memberitahukan rahsia bahawa
merekalah yang menjadi punca kemalangan sehingga menyebabkan kematian ibu dan bapa
Hanani. Mereka berjanji akan akan menebus dosa itu dan akan memberikan kasih sayang kepada
Hanani. Hanani diterima semula tinggal di banglo Datin Maziah. Kali ini dia tidak perlu menyamar
sebagai Nini lagi.
Sementara itu, Hari Sumbangsih berjaya mengumpulkan sebanyak RM16 655.00.
Iskandar pula terbunuh dalam kemalangan dan Laili yang membonceng motosikal itu cedera
parah.
Semasa Hanani ke rumah Ekran, dilihatnya Tengku Muzaffar sedang membantu Ekran menyiapkan
sebuah gerai.
Akhirnya, Hanani mendapat tahu akan latar belakang keluarga Ekran yang sebenarnya.

 (ii) Novel PAPA…(akhirnya kau tewas jua!)
(a) Latar tempat yang terkandung dalam novel ini ialah:
Di rumah Jeffri di Kelana Jaya – Tempat Jeffri dan keluarganya serta Mak Cik Noraini pembantu
rumah mereka tinggal dalam suasana yang harmoni.
Di Sekolah Menengah Seri Gading – Tempat Julia belajar dan tempat Intan Maliana menjadi guru
Matematik.
Di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia – Tempat Intan Maliana melahirkan anak kembarnya
dan dirawat semasa dia dalam keadaan koma.
Di Pusat Matrikulasi, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) – Tempat Julia dan rakan rapatnya Rasylanmeneruskan pengajian selepas tamat sekolah menengah.
Di Restoran Starbucks Coffee di Mid Valley – Tempat Julia dan Rasylan kunjungi untuk minum dan di sinilah jugalah mereka terserempak dua kali dengan papa Julia minum bersama Aisyah.

(b) Peleraian novel ini ialah:
Kematian Mama amat menyedihkan Julia dan buat pertama kalinya papa menangis.

(iii) Novel Renyah
(a) Latar tempat yang terkandung dalam novel ini ialah:
Di rumah Datuk Dolhi : Tempat Datuk Dolhi dan isterinya berbincang tentang anak-anak.
Di Bukit Serakah : Tempat Datuk Dolhi dan Albert Lee berjoging.
Di Wisma Dolhi-Albert Lee Holding : Tempat beroperasinya perniagaan Datuk Dolhi.
Di Jepun : Tempat Wahi belajar serta tempat Datuk Dolhi bercuti selama dua minggu.
Di Teratai Inn : Tempat Hasnol berjumpa dengan Tengku Munir berkaitan dengan tender Jambatan
Kota yang bernilai RM80 juta.
Di Kelab Mawar : Tempat Amera bertemu dengan lelaki yang meminatinya, iaitu YB Wahab.
Di Lapangan Terbang Narita : Tempat Wahi menjemput ayahnya yang datang dari Malaysia.
Di kawasan hutan di Sarawak : Tempat Ilham menghasut orang-orang asli supaya menunjuk
perasaan terhadap penerokaan hutan dan pembalakan.

(b) Peleraian novel ini ialah:
Wahi pulang dari Jepun dengan isterinya, Yuka seorang warga Jepun.
Wahi dilantik sebagai pengarah syarikat menggantikan Datuk Dolhi yang bersara.
Datuk Dolhi berehat mencari ketenangan sambil berdoa agar anak-anaknya diberikan hidayah.

 (iv) Novel Melunas Rindu
(a) Latar tempat yang terkandung dalam novel ini ialah:
Di Danau Seberang : Tempat tinggal Pak Ismail, Mak Salamah, dan Fuad
Di Sekolah Menengah Seri Setia : Tempat Fuad bertugas sebagai seorang guru sandaran.
Di Kuantan Rumah ibu Farhana
Di Sungai Ruan : Tempat Fuad dibesarkan oleh bapa saudarnya, Peter Lim.
Di Lembah Klau : Tempat asal ibu kandung Fuad.
Di Kampung Sedili : Tempat tinggal kakak kepad aibunya, Mariah.
Di Restoran Terapung di Taman Syahbandar : Tempat Fuad dan Farhana singgah untuk meraikan
hari lahir Farhana.
Di Pantai Batu Buruk : Tempat Fuad menenangkan jiwanya.
Di Hospital Tengku ampuan Afzan : Tempat ibu Farhana, Mariana dirawat kerana penyakit lelah.

(b) Peleraian novel ini ialah:
Fuad dan Farhana terpaksa menerima hakikat bahawa mereka adik-beradik.
Fuad membawa ibu kandungnya serta ibu dan bapa angkatnya ke Makkah.
Sewaktu hendak berangkat ke Makkah, Robert Lim datang untuk mengucapkan selamat jalan.

Ke Arah SPM
3 Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut:

(i) Azfa Hanani karya Halis Azhan Mohd Hanafiah
(ii) PAPA…(akhirnya kau tewas jua!) karya Deana Yusof
(iii) Renyah karya Gunawan Mahmood
(iv) Melunas Rindu karya Hartini Hamzah

(a) Huraikan klimaks novel yang telah anda kaji.
(b) Berdasarkan novel yang telah anda pelajari, jelaskan empat nilai murni yang terkandung dalam novel tersebut.

Jawapan Ke Arah SPM
3
(i) Novel Azfa Hanani
(a) Klimaks novel ini ialah:
Klimaks dalam novel ini bermula pada Hari Sumbangsih diadakan. Pada hari itu, Hanani berpeluang
bersemuka dengan Ekran dan mendengar penjelasan daripada Ekran tentang hubungannya dengan
Tengku Murni terputus atas sebab-sebab tertentu. Hanani juga diberitahu tentang dompet Tengku
Murni yang ada pada Ekran. Melalui diari Tengku Murni, Hanani mendapat tahu bahawa hubungan
Ekran dan Tengku Murni terputus disebabkan oleh Tengku Muzaffar yang menghalang hubungan
tersebut demi menjaga nama baik keluarga meraka. Hanani berasa terhina lalu terjadi pertengkaran
antara mereka. Pertengkaran itu menyebabkan Datin Maziah mengetahui tentang penyamaran
Hanani. Akibatnya Hanani ditampar dan dihalau oleh Datin Maziah.

(b) Nilai murni yang terkandung dalam novel ini ialah:
Bertanggungjawab
Contohnya, sikap pak long dan mak long Hanani yang menjaga dan menyekolahkannya walaupun
mereka sendiri hidup dalam kesempitan.
Prihatin
Contohnya, Tengku Mazran dan isterinya Safinaz yang membantu pak long Hanani dengan
membiayai kos perubatan Zurina.
Merendah diri
Ekran bersikap merendah diri walaupun keluarganya berada.
Berdikari
Ekran menjual burger.

 (ii) Novel PAPA…(akhirnya kau tewas jua!)
(a) Klimaks novel ini ialah:
Klimaks cerita ini bermula semasa Julia mengajak papanya bersembahyang maghrib secara berjemaah.Selepas bersembahyang bersama, mereka menjenguk mama di biliknya. Setelah ditegur oleh suaminya,mama mula membuka mata dan mula bercakap. Pada masa itu, semua ahli keluarganya ada di sisi.Walau bagaimanapun, air muka mama berubah tatkala melihat Aisyah yang berada di sisi suaminya.Jeffri yang dalam keadaan serba salah itu akhirnya menjelaskan hal yang sebenar. Intan Maliana berasakecewa dan akhirnya meninggal dunia.

(b) Nilai murni yang terkandung dalam novel ini ialah:
Bertanggungjawab
Jefri bertanggungjawab membawa Mak Cik Noraini tinggal bersamanya setelah keluarganya
meninggal dunia dalam kemalangan.
Prihatin
Datuk Mustakim sanggup mengambil Rasylan dari rumah JKM menjadi anak angkatnya.
Kasih sayang
Jefri sangat mengasihi keluarganya. Dia sanggup membawa isterinya balik dari hospital untuk
membolehkannya menjaga isterinya.
Berhati mulia
Julia tidak membenci Rasylan walaupun dia tahu bahawa Rasylan berasal dari JKM.
(iii) Novel Renyah
(a) Klimaks novel ini ialah:
Klimaks dalam novel ini bermula pada majlis pernikahan Amera. Di majlis ini, Datuk Dolhi bertemu
dengan rakannya, Ustaz Wahab dan bercerita tetang Mukhlis. Mereka mencari Mukhlis tetapi gagal
sehinggalah mendapat berita bahawa Mukhlis menjadi tidak siuman dan cuba menyerang tuk guru
dan kini merayau-rayau sambil membawa pedang. Sementara itu, Hasnol didesak oleh Tengku Munir
supaya meluluskan semua tendernya dan gesaan ini menyebabkan Hasnol berasa tertekan kerana dia
tahu bahawa dia tidak dapat berbuat demikian. Walau bagaimanapun, Hasnol meneruskan percutian
dengan keluarganya. Tengku Munir yang tidak berpuas hati melaporkan kepada Menteri Besar. Akhirnya Hasnol ditahan semasa pulang dari percutian. Dani pula ditahan oleh polis kerana terlibat dalam penagihan dadah. Berita penangkapannya disiarkan dalam akhbar yang menyebabkan imej Datuk Dolhi terjejas. Ilham dianggap pengkhianat negara kerana memburuk-burukkan negara berkaitan dengan isu pembalakan. Semua kejadian yang dialami oleh anak-anak Datuk Dolhi menaikkan kemarahan Albert Lee dan mahu merampas tampuk penguasaan dalam syarikat.

(b) Nilai murni yang terkandung dalam novel ini ialah:
Kasih sayang
Albert Lee tetap meluangkan amsa bersama-sama dengan isteri dan anak-anaknya walaupun sibuk
dengan urusan perniagaannya.
Patriotik
Datuk Dolhi yang menggunakan kereta buatan Malaysia walaupun dia mampu untuk
menggunakan kereta mewah yang diimport.
Ketabahan
Datuk Dolhi tetap tabah menghadapi pelbagai musibah angkara perbuatan anak-anaknya.
Kerajinan
Datuk Dolhi rajin membaca pelbagai bahan bacaan bagi memantapkan ilmu keusahawanannya.

 (iv) Melunas Rindu karya Hartini Hamzah
(a) Klimaks novel ini ialah:
Klimaks dalam novel ini bermula apabila berlakunya pertengkaran antara Cikgu Farhana dengan
Cikgu Zamani. Pertengkaran ini telah mengganggu perasaan Fuad sehingga dia mengambil langkah
drastik dengan menyusul Farhana ke Kuantan yang pulang kerana melawat ibunya di hospital.
Sewaktu di hospital, Fuad terbaca nama ibu Farhana yang sama dengan nama ibu kandungnya. Hal
ini menyebabkan Fuad menyelidiki latar belakang ibu Farhana. Kemusykilannya terjawab apabila
bapa kandungnya Robert Lim sampai di hospital dan mengesahkan bahawa ibu Farhana itu ialah ibu
kandung Fuad.

(b) Nilai murni yang terkandung dalam novel ini ialah:
Dedikasi
Contohnya, Fuad yang sangat berdedikasi sewaktu menjalankan tugasnya sebagai tenaga pengajar.
Bekerjasama
Contohnya, Fuad dan Farhana sentiasa bekerjasama dalam meningkatkan pencapaian murid-murid
mereka dalam Bahasa Inggeris.
Bertindak secara rasional
Contohnya, Fuad dan Farhana reda menerima hakikat bahawa mereka adik-beradik, walaupun
mereka saling mencintai.
Prihatin
Contohnya, Fuad yang prihatin terhadap kesusahan keluarga Peter Lim dan keluarganya yang
akhirnya membantu menanggung segala perbelanjaan persekolahan anak-anak Peter Lim.