Wednesday, October 13, 2010

ANALISIS NOVEL TINGKATAN 4 Ke Arah SPM

1.         Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut:

(i) Azfa Hanani karya Halis Azhan Mohd Hanafiah
(ii) PAPA…(akhirnya kau tewas jua!) karya Deana Yusof
(iii) Renyah karya Gunawan Mahmood
(iv) Melunas Rindu karya Hartini Hamzah

(a) Jelaskan dua pengajaran yang terdapat dalam sebuah novel yang anda pelajari.
(b) Berdasarkan novel yang anda pelajari, huraikan dua persoalan daripada novel tersebut.

JAWAPAN
1
(i) Novel Azfa Hanani

(a) Pengajaran yang terkandung dalam novel ini ialah:
Kita hendaklah sedia berkorban demi kesejahteraan orang lain.
Contohnya, Azfa Hanani yang sanggup menerima tawaran Tengku Mazran untuk menyamar
sebagai arwah adiknya, Tengku Murni setelah Tengku Mazran berjanji untuk menanggung kos
perubatan penyakit sepupunya Zurina.

Kita perlu berusaha untuk memperbaik kelemahan diri.
Contohnya, Azfa Hanani yang belajar bahasa Inggeris dan bahasa Jepun di Institut Lingua Franca
bagi mengatasi kelemahannya dalam bahasa Inggeris.

(b) Persoalan yang terkandung dalam novel ini ialah:
Kehilangan anak tersayang yang menyebabkan penderitaan batin.
Contohnya, Datin Maziah yang tidak dapat menerima hakikat bahawa anak gadisnya, Tengku
Murni telah meninggal dunia dalam kemalangan menghadapi tekanan jiwa.

Perhubungan yang terhalang kerana perbezaan darjat.
Contohnya, perhubungan antara Tengku Murni dengan Ekran tidak direstui oleh keluarga Tengku
Murni dan Tengku Muzaffar berusaha untuk memisahkan hubungan mereka. Keluarga Tengku
Murni menganggap Ekran berasal dari keluarga yang susah kerana sikap merendah diri Ekran.

 (ii) Novel PAPA…(akhirnya kau tewas jua!)
(a) Pengajaran yang terkandung dalam novel ini ialah:
Janganlah membelakangkan aspek kesihatan dalam memenuhi keinginan mahu mendapatkan zuriat.
Contohnya, Intan Maliana yang ingin memenuhi impian suaminya Jeffri, membelakangkan risiko
yang bakal dihadapinya memandangkan dia pernah mengalami komplikasi yang teruk semasa
melahirkan Intan Julia.

Kita hendaklah bertanggungjawab terhadap kepercayaan yang diberikan untuk melaksanakan sesuatu tugas.
Contohnya, Jeffri telah melaksanakan tanggungjawab sebagai bapa dengan menjaga Intan Julia
dengan sebaik-baiknya semasa isterinya koma dan dia juga telah menjaga isterinya yang koma
dengan baik walaupun terpaksa meninggalkan beberapa aktiviti yang sering dilakukannya semasa
isterinya sihat.


(b) Persoalan yang terkandung dalam novel ini ialah:
Kasih sayang suami kepada isteri.
Jeffri sangat mengasihi isterinya. Demi kasih sayangnya, Jeffri sanggup menjaga isterinya yang sakit
di rumah.

Ketabahan menghadapi dugaan daripada Tuhan.
Ketabahan Jeffri diuji ketika isterinya koma. Dia tidak berputus asa berusaha untuk mengubati
isterinya supaya pulih seperti sediakala. Ketabahan Jeffri juga jelas semasa menghadapi kematian
anak kembarnya.


(iii) Novel Renyah
(a) Pengajaran yang terkandung dalam novel ini ialah:
Jangan mengamalkan rasuah untuk hidup senang.
Contohnya, Hasnol yang kesempitan wang menerima rasuah sebanyak RM300 ribu daripada
Tengku Munir bagi mempengaruhi jabatan tender agar meluluskan tender-tendernya. Hasnol
bernasib malang, apabila Tengku Munir tidak berpuas hati dan melaporkan hal itu kepada Menteri
Besar yang akhirnya Hasnol ditahan atas kes rasuah.

Kita hendaklah menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diberikan dengan bersungguh-
sungguh supaya dapat mencapai kejayaan.
Contohnya, Amera yang menjalankan tugasnya sebagai pendidik dengan penuh dedikasi sehingga
dipilih sebagai Tokoh Pendidik Cemerlang Negeri.

(b) Persoalan yang terkandung dalam novel ini ialah:
Golongan muda yang terlibat dalam kegiatan dakwah secara melulu.
Contohnya, Mukhlis yang menyertai kegiatan dakwah tanpa ilmu yang mencukupi sehingga
terjebak dalam masalah kehidupan.

Sikap tamak yang menguasai diri sehingga terlibat dalam rasuah.
Contohnya, Hasnol yang kesempitan wang akhirnya menerima tawaran sebanyak RM300 ribu bagi
membantu Tengku Munir mendapatkan tendernya.

 (iv) Novel Melunas Rindu
(a) Pengajaran yang terkandung dalam novel ini ialah:
Kita mesti taat dalam mengerjakan suruhan Tuhan.
Contohnya, Fuad yang tidak pernah meninggalkan solat walaupun ketika bermusafir. Dia juga rajin
membaca al-Quran dan solat secara berjemaah.

Kita mestilah sentiasa berusaha bagi mencapai sesuatu yang diinginkan.
Fuad telah berusaha untuk mencari ibu kandungnya melalui keluarga sebelah ibu kandungnya
sehingga bertemu dengan ibu kandungnya semula.

(b) Persoalan yang terkandung dalam novel ini ialah:
Cinta adik-beradik terjalin akibat tidak mengenali asal usul.
Fuad terpaksa menerima hakikat bahawa gadis yang dicintainya ialah adiknya sendiri.

Bertanggungjawab terhadap tugasan yang diamanahkan.
Fuad menjalankan tugasnya sebagai guru sandaran dengan penuh dedikasi.



Ke Arah SPM
2. Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut:
(i) Azfa Hanani karya Halis Azhan Mohd Hanafiah
(ii) PAPA…(akhirnya kau tewas jua!) karya Deana Yusof
(iii) Renyah karya Gunawan Mahmood
(iv) Melunas Rindu karya Hartini Hamzah

(a) Latar tempat merupakan ruang sesuatu peristiwa itu berlaku serta dapat mencerminkan perwatakan sesuatu watak.
Jelaskan latar tempat dalam novel yang telah anda pelajari.

(b) Huraikan secara ringkas bahagian peleraian novel yang telah anda kaji.

JAWAPAN Ke Arah SPM
2
(i) Novel Azfa Hanani
(a) Latar tempat yang terkandung dalam novel ini ialah:
Di Sekolah Menengah Sri Diah : Sekolah lama Hanani yang terletak kira-kira 15 kilometer dari
rumahnya.
Di Sekolah Menengah Taman Sari : Tempat Hanani belajar semasa dia menyamar sebagai Tengku
Murni.
Di Hotel Universe : Tempat Hanani diajar oleh Tengku Mazran cara-cara untuk makan, minum, dan
bertutur apabila berhadapan dengan Tengku Maziah.
Di Institut Lingua Franca : Tempat Hanani belajar bahasa Inggeris dan bahasa Jepun.
Di banglo Datin Maziah : Tempat Tengku Maziah dan Datuk Tengku Makmur tinggal bersama-
sama dengan anak-anaknya dan tempat Hanani menyamar sebagai Tengku Murni.

(b) Peleraian novel ini ialah:
Keluarga Datin Maziah datang ke rumah pak long Hanani. Mereka memberitahukan rahsia bahawa
merekalah yang menjadi punca kemalangan sehingga menyebabkan kematian ibu dan bapa
Hanani. Mereka berjanji akan akan menebus dosa itu dan akan memberikan kasih sayang kepada
Hanani. Hanani diterima semula tinggal di banglo Datin Maziah. Kali ini dia tidak perlu menyamar
sebagai Nini lagi.
Sementara itu, Hari Sumbangsih berjaya mengumpulkan sebanyak RM16 655.00.
Iskandar pula terbunuh dalam kemalangan dan Laili yang membonceng motosikal itu cedera
parah.
Semasa Hanani ke rumah Ekran, dilihatnya Tengku Muzaffar sedang membantu Ekran menyiapkan
sebuah gerai.
Akhirnya, Hanani mendapat tahu akan latar belakang keluarga Ekran yang sebenarnya.

 (ii) Novel PAPA…(akhirnya kau tewas jua!)
(a) Latar tempat yang terkandung dalam novel ini ialah:
Di rumah Jeffri di Kelana Jaya – Tempat Jeffri dan keluarganya serta Mak Cik Noraini pembantu
rumah mereka tinggal dalam suasana yang harmoni.
Di Sekolah Menengah Seri Gading – Tempat Julia belajar dan tempat Intan Maliana menjadi guru
Matematik.
Di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia – Tempat Intan Maliana melahirkan anak kembarnya
dan dirawat semasa dia dalam keadaan koma.
Di Pusat Matrikulasi, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) – Tempat Julia dan rakan rapatnya Rasylanmeneruskan pengajian selepas tamat sekolah menengah.
Di Restoran Starbucks Coffee di Mid Valley – Tempat Julia dan Rasylan kunjungi untuk minum dan di sinilah jugalah mereka terserempak dua kali dengan papa Julia minum bersama Aisyah.

(b) Peleraian novel ini ialah:
Kematian Mama amat menyedihkan Julia dan buat pertama kalinya papa menangis.

(iii) Novel Renyah
(a) Latar tempat yang terkandung dalam novel ini ialah:
Di rumah Datuk Dolhi : Tempat Datuk Dolhi dan isterinya berbincang tentang anak-anak.
Di Bukit Serakah : Tempat Datuk Dolhi dan Albert Lee berjoging.
Di Wisma Dolhi-Albert Lee Holding : Tempat beroperasinya perniagaan Datuk Dolhi.
Di Jepun : Tempat Wahi belajar serta tempat Datuk Dolhi bercuti selama dua minggu.
Di Teratai Inn : Tempat Hasnol berjumpa dengan Tengku Munir berkaitan dengan tender Jambatan
Kota yang bernilai RM80 juta.
Di Kelab Mawar : Tempat Amera bertemu dengan lelaki yang meminatinya, iaitu YB Wahab.
Di Lapangan Terbang Narita : Tempat Wahi menjemput ayahnya yang datang dari Malaysia.
Di kawasan hutan di Sarawak : Tempat Ilham menghasut orang-orang asli supaya menunjuk
perasaan terhadap penerokaan hutan dan pembalakan.

(b) Peleraian novel ini ialah:
Wahi pulang dari Jepun dengan isterinya, Yuka seorang warga Jepun.
Wahi dilantik sebagai pengarah syarikat menggantikan Datuk Dolhi yang bersara.
Datuk Dolhi berehat mencari ketenangan sambil berdoa agar anak-anaknya diberikan hidayah.

 (iv) Novel Melunas Rindu
(a) Latar tempat yang terkandung dalam novel ini ialah:
Di Danau Seberang : Tempat tinggal Pak Ismail, Mak Salamah, dan Fuad
Di Sekolah Menengah Seri Setia : Tempat Fuad bertugas sebagai seorang guru sandaran.
Di Kuantan Rumah ibu Farhana
Di Sungai Ruan : Tempat Fuad dibesarkan oleh bapa saudarnya, Peter Lim.
Di Lembah Klau : Tempat asal ibu kandung Fuad.
Di Kampung Sedili : Tempat tinggal kakak kepad aibunya, Mariah.
Di Restoran Terapung di Taman Syahbandar : Tempat Fuad dan Farhana singgah untuk meraikan
hari lahir Farhana.
Di Pantai Batu Buruk : Tempat Fuad menenangkan jiwanya.
Di Hospital Tengku ampuan Afzan : Tempat ibu Farhana, Mariana dirawat kerana penyakit lelah.

(b) Peleraian novel ini ialah:
Fuad dan Farhana terpaksa menerima hakikat bahawa mereka adik-beradik.
Fuad membawa ibu kandungnya serta ibu dan bapa angkatnya ke Makkah.
Sewaktu hendak berangkat ke Makkah, Robert Lim datang untuk mengucapkan selamat jalan.

Ke Arah SPM
3 Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan novel-novel yang berikut:

(i) Azfa Hanani karya Halis Azhan Mohd Hanafiah
(ii) PAPA…(akhirnya kau tewas jua!) karya Deana Yusof
(iii) Renyah karya Gunawan Mahmood
(iv) Melunas Rindu karya Hartini Hamzah

(a) Huraikan klimaks novel yang telah anda kaji.
(b) Berdasarkan novel yang telah anda pelajari, jelaskan empat nilai murni yang terkandung dalam novel tersebut.

Jawapan Ke Arah SPM
3
(i) Novel Azfa Hanani
(a) Klimaks novel ini ialah:
Klimaks dalam novel ini bermula pada Hari Sumbangsih diadakan. Pada hari itu, Hanani berpeluang
bersemuka dengan Ekran dan mendengar penjelasan daripada Ekran tentang hubungannya dengan
Tengku Murni terputus atas sebab-sebab tertentu. Hanani juga diberitahu tentang dompet Tengku
Murni yang ada pada Ekran. Melalui diari Tengku Murni, Hanani mendapat tahu bahawa hubungan
Ekran dan Tengku Murni terputus disebabkan oleh Tengku Muzaffar yang menghalang hubungan
tersebut demi menjaga nama baik keluarga meraka. Hanani berasa terhina lalu terjadi pertengkaran
antara mereka. Pertengkaran itu menyebabkan Datin Maziah mengetahui tentang penyamaran
Hanani. Akibatnya Hanani ditampar dan dihalau oleh Datin Maziah.

(b) Nilai murni yang terkandung dalam novel ini ialah:
Bertanggungjawab
Contohnya, sikap pak long dan mak long Hanani yang menjaga dan menyekolahkannya walaupun
mereka sendiri hidup dalam kesempitan.
Prihatin
Contohnya, Tengku Mazran dan isterinya Safinaz yang membantu pak long Hanani dengan
membiayai kos perubatan Zurina.
Merendah diri
Ekran bersikap merendah diri walaupun keluarganya berada.
Berdikari
Ekran menjual burger.

 (ii) Novel PAPA…(akhirnya kau tewas jua!)
(a) Klimaks novel ini ialah:
Klimaks cerita ini bermula semasa Julia mengajak papanya bersembahyang maghrib secara berjemaah.Selepas bersembahyang bersama, mereka menjenguk mama di biliknya. Setelah ditegur oleh suaminya,mama mula membuka mata dan mula bercakap. Pada masa itu, semua ahli keluarganya ada di sisi.Walau bagaimanapun, air muka mama berubah tatkala melihat Aisyah yang berada di sisi suaminya.Jeffri yang dalam keadaan serba salah itu akhirnya menjelaskan hal yang sebenar. Intan Maliana berasakecewa dan akhirnya meninggal dunia.

(b) Nilai murni yang terkandung dalam novel ini ialah:
Bertanggungjawab
Jefri bertanggungjawab membawa Mak Cik Noraini tinggal bersamanya setelah keluarganya
meninggal dunia dalam kemalangan.
Prihatin
Datuk Mustakim sanggup mengambil Rasylan dari rumah JKM menjadi anak angkatnya.
Kasih sayang
Jefri sangat mengasihi keluarganya. Dia sanggup membawa isterinya balik dari hospital untuk
membolehkannya menjaga isterinya.
Berhati mulia
Julia tidak membenci Rasylan walaupun dia tahu bahawa Rasylan berasal dari JKM.
(iii) Novel Renyah
(a) Klimaks novel ini ialah:
Klimaks dalam novel ini bermula pada majlis pernikahan Amera. Di majlis ini, Datuk Dolhi bertemu
dengan rakannya, Ustaz Wahab dan bercerita tetang Mukhlis. Mereka mencari Mukhlis tetapi gagal
sehinggalah mendapat berita bahawa Mukhlis menjadi tidak siuman dan cuba menyerang tuk guru
dan kini merayau-rayau sambil membawa pedang. Sementara itu, Hasnol didesak oleh Tengku Munir
supaya meluluskan semua tendernya dan gesaan ini menyebabkan Hasnol berasa tertekan kerana dia
tahu bahawa dia tidak dapat berbuat demikian. Walau bagaimanapun, Hasnol meneruskan percutian
dengan keluarganya. Tengku Munir yang tidak berpuas hati melaporkan kepada Menteri Besar. Akhirnya Hasnol ditahan semasa pulang dari percutian. Dani pula ditahan oleh polis kerana terlibat dalam penagihan dadah. Berita penangkapannya disiarkan dalam akhbar yang menyebabkan imej Datuk Dolhi terjejas. Ilham dianggap pengkhianat negara kerana memburuk-burukkan negara berkaitan dengan isu pembalakan. Semua kejadian yang dialami oleh anak-anak Datuk Dolhi menaikkan kemarahan Albert Lee dan mahu merampas tampuk penguasaan dalam syarikat.

(b) Nilai murni yang terkandung dalam novel ini ialah:
Kasih sayang
Albert Lee tetap meluangkan amsa bersama-sama dengan isteri dan anak-anaknya walaupun sibuk
dengan urusan perniagaannya.
Patriotik
Datuk Dolhi yang menggunakan kereta buatan Malaysia walaupun dia mampu untuk
menggunakan kereta mewah yang diimport.
Ketabahan
Datuk Dolhi tetap tabah menghadapi pelbagai musibah angkara perbuatan anak-anaknya.
Kerajinan
Datuk Dolhi rajin membaca pelbagai bahan bacaan bagi memantapkan ilmu keusahawanannya.

 (iv) Melunas Rindu karya Hartini Hamzah
(a) Klimaks novel ini ialah:
Klimaks dalam novel ini bermula apabila berlakunya pertengkaran antara Cikgu Farhana dengan
Cikgu Zamani. Pertengkaran ini telah mengganggu perasaan Fuad sehingga dia mengambil langkah
drastik dengan menyusul Farhana ke Kuantan yang pulang kerana melawat ibunya di hospital.
Sewaktu di hospital, Fuad terbaca nama ibu Farhana yang sama dengan nama ibu kandungnya. Hal
ini menyebabkan Fuad menyelidiki latar belakang ibu Farhana. Kemusykilannya terjawab apabila
bapa kandungnya Robert Lim sampai di hospital dan mengesahkan bahawa ibu Farhana itu ialah ibu
kandung Fuad.

(b) Nilai murni yang terkandung dalam novel ini ialah:
Dedikasi
Contohnya, Fuad yang sangat berdedikasi sewaktu menjalankan tugasnya sebagai tenaga pengajar.
Bekerjasama
Contohnya, Fuad dan Farhana sentiasa bekerjasama dalam meningkatkan pencapaian murid-murid
mereka dalam Bahasa Inggeris.
Bertindak secara rasional
Contohnya, Fuad dan Farhana reda menerima hakikat bahawa mereka adik-beradik, walaupun
mereka saling mencintai.
Prihatin
Contohnya, Fuad yang prihatin terhadap kesusahan keluarga Peter Lim dan keluarganya yang
akhirnya membantu menanggung segala perbelanjaan persekolahan anak-anak Peter Lim.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment